Review Filem Black Water: Abyss

Filem:
Black Water: Abyss

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Andrew Traucki

Genre:
Aksi, Drama & Seram

Pelakon:
Jessica McNamee, Luke Mitchell, Amali Gorden & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
6 Ogos 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan pasangan Eric dan Jennifer bersama dua rakan mereka iaitu Yolanda dan Viktor yang ingin menerokai sebuah sistem gua yang terletak jauh di Utara Australia. Mereka kemudiannya mendapatkan khidmat pemandu pelancong bernama Cash. Menyangka mereka akan selamat dari ribut tropika yang melanda, mereka meneruskan perjalanan dengan lebih jauh ke dalam gua tersebut. Tanpa disangka, gua itu mula dinaiki air dan mereka telah sesat dan terperangkap di dalamnya. Namun itu bukanlah satu-satunya masalah yang mereka perlu hadapi kerana banjir itu juga membawa sekumpulan buaya yang ganas. Kini mereka perlu mengejar masa demi menyelamatkan diri dan mencari jalan keluar dari gua tersebut. Saksikan filem aksi seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Ogos 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem aksi seram yang memaparkan serangan buaya berjudul Black Water: Abyss bertempat di GSC IOI Puchong pada 5 Ogos 2020 yang lepas. Sejak kebelakangan ini banyak filem-filem seram yang suka mengaplikasikan unsur seram yang dibina secara perlahan-lahan dan kurang menggunakan teknik kejutan yang mudah diramal. Kami melihat usaha ini membuahkan hasil kepada filem ini jika jalan ceritanya digarap dengan baik. Namun, sayangnya unsur seram serta kejutan yang sudah sedia cantik ini membuatkan kami terasa begitu letih disebabkan susur galur ceritanya yang kurang melekat antara satu perkara dengan satu perkara yang lain. Lebih mendukacitakan apabila kewujudan 'hero' yang dinanti ramai apabila menonton filem ini iaitu sang buaya seakan-akan terpinggir daripada keseluruhan penceritaan. 
Permulaan filem ini bermula dengan agak baik apabila penceritaanya mula memperkenalkan empat watak penting filem ini perlahan-lahan dan ianya sangat mudah difahami. Dibantu pula dengan kesan realistik keadaan hutan, cuaca serta bentuk gua yang terbentuk misteri serta menampung sejumlah besar air membuatkan filem ini berjaya bergerak dengan cukup baik dan realistik. Pengcahayaan filem ini juga dilihat sangat membantu untuk menaikkan lagi unsur seram serta ngeri filem ini yang acap kali berjaya membuat kami terasa sesuatu adn perlu berjaga-jaga. Namun, kami melihat kegagalan watak-watak di dalam filem ini untuk berkembang seperti yang diharapkan adalah cukup mengecewakan kerana penceritaan yang ditulis untuk setiap watak filem ini dilihat lebih memberi fokus kepada emosi semata-mata untuk menimbulkan simpati kami sebagai penonton tanpa ada sebab-sebab yang cukup jelas untuk kami terasa dekat untuk memahami karakter serta jiwa sebenar keempat-empat watak ini. Hal ini membuatkan kisah watak-watak ini terasa kosong dan tiada apa yang menarik untuk diingati kerana segala-galanya tidak kuat untuk menyatu dengan sempurna.
Kemunculan watak haiwan pemangsa yang ganas di dalam filem ini iaitu buaya pula boleh dikatakan berjaya di dalam kegagalan besar filem ini yang gagal menggabungkan adegan buaya dan manusia dengan sebaik mungkin. Kami menyukai adegan seram serta misteri saat watak buaya ini muncul dan cuba menyerang watak-watak yang wujud di dalam filem ini. Walaupun ianya tidak terlalu kerap muncul di dalam filem ini namun sang buaya ini acap kali membuatkan adrenalin kami sebagai penonton mencanak naik apabila ianya muncul sesekali. Namun, sekali lagi kelemahan di dalam meyakinkan kewujudan buaya tersebut di kawasan tersebut sebagai habitat serta cara haiwan pemangsa ini membunuh mangsanya yang tidak konsisten membuatkan ianya sekali lagi mencalarkan imej filem berkonsepkan haiwan manusia sebegini. 
Sayang seribu kali sayang kerana kami melihat filem Black Water: Abyss ini telah bermula dengan cukup baik pada peringkat awalnya. Misteri serta ketakutan yang dibina dari awal dengan baik mulai berantakan akibat terlalu disogok dengan kisah melodrama watak-wataknya yang kelihatan terlalu dibuat-buat sebelum akhirnya musnah pada pengakhirannya yang boleh kami nyatakan cukup lemah dan hanya sekadar cukup syarat. Filem ini bukan lah teruk seperti yang disangka namun ianya tidak cemerlang seperti yang kami harapkan. Sekadar cukup makan untuk anda berhibur menonton di pawagam disaat banyak filem-filem hebat lain yang masih belum singgah bertemu kaki wayang di pawagam seluruh dunia akibat serangan Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda rehat kepada manusia.
Jadi, selamat menonton filem aksi seram ini iaitu Black Water: Abyss ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 Ogos 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Animasi Yang Menghiburkan Iaitu Scoob! Nantikan Ulasannya Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Terima kasih banyak atas ulasan atau review film black water abyss kakak. Jadi tahu jalan ceritanya.

    BalasPadam