Review Filem The Kid Who Would Be King


Filem:
The Kid Who Would Be King

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Joe Cornish

Genre:
Pengembaraan, Fantasi & Drama

Pelakon:
Louis Serkis, Tom Taylor, Dean Chaumoo, Rhianna Doris,
Angus Imrie, Patrick Stewart, Rebecca Ferguson & Etc.

Tarikh Tayangan:
17 Januari 2019

Pengedar:
20th Century Fox

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang budak sekolah biasa bernama Alex yang mempunyai masalah dimana dia dan rakannya, Bedders sering dibuli oleh dua orang pelajar nakal yang ditakuti pelajar lain di sekolah tempat mereka belajar iaitu Lance dan Kaye. Pada suatu hari, Alex melarikan diri daripada dibuli oleh Lance dan Kaye sebelum terjatuh di sebuah kawasan terbiar. Disitu, Alex terlihat pedang Excalibur yang terpacak keras di atas batu dan berjaya menariknya keluar. Tanpa disedari Alex, pedang tersebut merupakan pedang yang paling berkuasa dan telah membangkitkan penjahat zaman lampau bernama Morgana yang ingin merampas pedang tersebut untuk memerintah dunia. Kini Alex dan rakan-rakan di dalam bahaya dan perlu berganding bahu untuk menewaskan Morgana dan tenteranya untuk menyelamatkan dunia. Berjayakah mereka mengalahkan Morgana? Saksikan filem yang menghiburkan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 17 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya

Ulasan:

Filem The Kid Who Would Be King arahan pengarah Joe Cornish nampaknya mengalami kesukaran untuk mengembalikan kehebatan fantasi lagenda King Arthur di dalam karyanya kali ini. Walaupun penceritaanya tentang lagenda terkenal ini berada di dalam satu fasa kisah yang berbeza tetapi impak yang diperoleh oleh penonton pula tidak lah begitu luar biasa. Itu adalah hasil rumusan usai menonton filem ini di TGV Cinemas Jaya Shopping Centre pada 20 Januari 2019 yang lepas. Tidak dinafikan filem ini menghiburkan dan berjaya menyampaikan mesej-mesej bersifat kekeluargaan dan persahabatan yang menebal dengan cukup baik. Tetapi, persembahan dan plot ceritanya begitu klise dan mudah diramal seperti mana filem-filem yang sealiran dengannya yang telah diterbitkan sebelum ini.


Filem ini bermula baik dengan penceritaan melalui animasi komik yang menceritakan tentang susur galur pedang excalibur serta hubungan sebenar antara King Arthur dan Morgana. Ia kemudian diteruskan dengan penceritaan watak utamanya iaitu Alex dan rakan karibnya Bedders yang menghadapi masalah buli di sekolah. Aku sangat menyukai babak awal filem ini kerana ia menunjukkan kematangan dua watak cilik ini melalui penyampaian dialog-dialog mereka yang kedengaran dewasa sewaktu menceritakan tentang permasalahan buli di sekolah dan kaitannya dengan status mereka yang merupakan pelajar yang paling lemah di sekolah tersebut.


Filem ini kemudian bergerak ke fasa seterusnya selepas pedang excalibur telah dicabut dan dihunus oleh watak Alex ini dimana watak Merlin muncul untuk merungkai permasalahan sebenar yang bakal dihadapi oleh Alex dan rakan-rakannya. Namun, babak ini berlangsung dengan begitu panjang tanpa disokong oleh permasalahan yang meningkatkan tahap klimaks plot cerita filem ini. Segala-galanya sudah tersedia dan Alex serta rakan-rakannya hanya perlu mengikut sahaja. Tambahan pula, watak Alex yang dilakonkan oleh Louis Serkis ini kelihatan lemah daripada segi emosi menyebabkan penceritaan filem ini lebih jelas bermain di dalam satu landasan yang mendatar sahaja. Sepatutnya ada beberapa babak yang boleh menjentik hati penonton untuk turut sama beremosi seperti pembongkaran sebenar tentang kisah ayah Alex serta buku komik yang dipercayai Alex sepanjang hidupnya namun babak-babak ini hanya muncul sepintas lalu tanpa memberi impak kepada penghayatan penonton.


Filem ini bertuah kerana beberapa babak aksi yang ditambah dengan konsep penceritaan gelap telah berjaya mewujudkan rasa debaran kepada penonton terutama melalui kemunculan pahlawan kuda berapi serta pergerakan akar hitam yang melingkari dinding rumah untuk memerhatikan watak Alex. Ini berjaya mengalihkan perhatian penonton daripada mengalami rasa tegang gara-gara penceritaan filem ini yang terlalu mendatar dan sedikit membosankan. Elemen komedi yang dimasukkan di dalam penceritaan filem ini pula boleh dikatakan berjaya menggeletek hati penonton kerana ia tiba tepat pada waktunya. 


Tetapi, aku menyedari bahawa hakikatnya filem ini bergerak dalam satu tempoh waktu yang sangat panjang gara-gara dipenuhi dengan babak-babak yang durasinya terlalu lama, meleret-leret dan sebenarnya langsung tidak memberi impak. Contohnya seperti babak perjalanan mereka ke Tintagel yang mana babak itu sepatutnya menjadi satu babak yang dinanti-nanti kerana penggembaraan mereka untuk bertemu musuh hebat Morgana. Tetapi, ia kelihatan terlalu biasa, mudah dijangka dan tiada unsur debaran atau pertukaran plot yang boleh membuatkan penonton teruja. 


Lebih menyedihkan apabila kemunculan watak Merlin yang dilakonkan oleh Angus Imrie seakan-akan satu pemilihan yang salah dan mencacatkan karakter Merlin tersebut. Aku merasakan menonton watak ini seperti menonton kisah Merlin yang diparodikan. Watak Morgana yang dilakonkan oleh Rebecca Ferguson pula bagi aku sangat tenggelam dan kelihatan seperti satu watak antagonis yang terlalu stereotaip untuk filem sebegini. Sayang sekali kerana kedua-dua watak yang sepatutnya kelihatan seperti Merlin dan Morgana ini tidak digunakan dengan sebaik mungkin untuk menyokong perkembangan watak Alex dan rakan-rakannya yang lain.


Hakikatnya, filem ini merupakan sebuah lagi filem popcorn yang terlalu klise dan ringan. Kisah Alex dan rakan-rakannya hanya berada di dalam sebuah penceritaan yang mendatar dan sempit pada sepanjang masa. Perjalanan mereka tidak menghadapi cabaran yang sukar atau konflik yang terlalu serius. Ini membuatkan segala-gala penyelesaian yang diambil kelihatan terlalu mudah buat anak-anak kecil ini yang secara tiba-tiba begitu pantas menguasai cara menggunakan pedang dan menewaskan musuh Morgana yang pada awal cerita digambarkan terlalu hebat dengan kuasa sihirnya.


Akhir kata, filem ini bukan sebuah filem yang baik tetapi bukan juga sebuah filem yang mengecewakan. Masih menghiburkan untuk tontonan hujung minggu. Digarap cantik dengan nilai-nilai murni berkaitan persahabatan, kesetiaan dan kekeluargaan menjadikan filem ini sangat positif untuk ditonton oleh kanak-kanak mahu pun penonton dewasa. Jadi, selamat menonton dan semoga terhibur dengan filem The Kid Who Would Be King ini.

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Filem The Vanishing. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan