Review Filem Homestay


Filem:
Homestay

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Parkpoom Wongpoom

Genre:
Drama, Fantasi & Ngeri

Pelakon:
James Teeradon Supapunpinyo, Cherprang Areekul, Nopachai Jayanama,

 Suquan Bulakool, Laila Boonyasak, Suda Chuenban, Nutthasit Kotimanuswanich &Etc.

Tarikh Tayangan:
17 Januari 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini diadaptasi daripada sebuah novel dari Jepun berjudul "Colorful" yang merupakan hasil karya Eto Mori. Ia berkisarkan tentang satu roh yang sedang berbual dengan sebuah suara yang menawarkan ganjaran untuknya. Tiba-tiba roh ini menyedari dia kini berada di dalam jasad seorang remaja bernama Min yang sudah sehari meninggal dunia akibat membunuh diri dan sedang ditempatkan di bilik mayat sebuah hospital. Roh ini kemudian terjumpa dengan seorang lelaki misteri yang menggelarkan dirinya sebagai Guardian yang memberitahu roh tersebut bahawa jasad Min ini merupakan 'homestay' atau pun tubuh baru buat si roh tetapi roh ini hanya mempunyai masa selama 100 hari sahaja untuk mencari siapakah manusia yang bertanggungjawab menyebabkan Min membunuh diri. Jika gagal di dalam misi tersebut, roh tersebut akan terus mati dan tidak akan diterima lagi. Roh tersebut mula mencari punca kepada kematian Min dan apa yang ditemuinya sangat mengejutkan. Apakah sebenarnya yang terjadi kepada Min sehingga dia sanggup membunuh diri? Siapakah penyebab kepada kematian Min? Adakah roh tersebut mampu menyelesaikan misi yang diberikan? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 17 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya

Ulasan:

Filem Homestay yang diarahkan oleh Parkpoom Wongpoom ini merupakan salah sebuah filem Thailand yang berjaya membawakan mesej menarik berkaitan dengan permasalahan bunuh diri yang melanda remaja di negara Asia. Keputusan menonton filem ini di GSC Alamanda, Putrajaya pada 19 Januari 2019 yang lepas sememangnya satu keputusan yang bijak kerana filem ini bukannya sebuah filem kosong tetapi menampilkan plot cerita yang cemerlang.


Filem ini dimulakan dengan babak pembukaan yang sangat menakjubkan. Bayangkan ia dimulakan dengan putaran warna yang diselangi dialog-dialog yang menimbulkan elemen fantasi dan misteri yang cukup untuk membangkitkan satu tanda tanya kepada penonton. Babak tersebut kemudian bertukar kepada latar tempat sebuah hospital dimana kekeliruan roh yang melihat dia berada di dalam jasad manusia juga berjaya disampaikan dengan baik melalui tona warna filem yang gelap. 


Kemudian, elemen seram mula diterapkan kepada watak penjaga yang mengikut roh tersebut. Walaupun berwajah manusia tetapi reaksi wajah, pergerakan anak mata, cara lirikan senyuman dan intonasi suara sememangnya berjaya membuatkan para penonton berasa seram dengan aura yang wujud pada karakter tersebut. Lebih menakjubkan ialah kesan khas janaan imej CGI pada babak awal ini yang bukan sekadar lain daripada kebiasaan tetapi juga sangat kemas dan kelihatan begitu nyata. Aku sendiri secara peribadi sangat mengagumi permulaan awal filem ini yang boleh aku sifatkan sebagai luar biasa dan sangat meyakinkan untuk menyatakan ini adalah filem yang baik untuk ditonton.


Kemudian, penceritaan ini mula berubah dimana plot ceritanya mula diisi dengan elemen humor, romantik dan sesekali seram dalam keadaan yang sekata. Ini sangat menarik kerana ia berjaya membawa penonton untuk turut sama hanyut di dalam misi roh ini di dalam mencari punca yang menyebabkan jasad remaja bernama Min yang ditumpangnya itu membunuh diri. Disinilah aku dapat melihat perkembangan watak roh ini yang dikembangkan melalui gabungan babak-babak yang cukup kreatif bermula dengan proses mengenali ahli keluarga Min yang mula membuatkan penonton tertanya-tanya kerana setiap ahli keluarganya menimbulkan persoalan kepada punca Min membunuh diri. Ibu Min bekerja jauh di luar dan dipaparkan sangat menyayangi Min. Manakala ayah Min pula merupakan seorang pegawai pemasaran yang kelihatan tidak terlalu banyak berkomunikasi dengan Min. Akhir sekali ialah abangnya yang kelihatan terlalu membenci Min. Kemudian, satu persatu babak menarik mula ditunjukkan bermula dengan bingkai gambar serta album gambar yang kosong sebelum gambar-gambar itu ditemui semula dengan wajah Min yang diconteng di dalam semua gambar. Kemudian elemen misteri pula mula dibongkarkan sedikit demi sedikit melalui babak pintu bilik Min yang dikunci. Ini semua menjadi kunci kepada tanda tanya penonton pada peringkat awal di dalam mencari punca Min membunuh diri dan bagi aku ia adalah satu hasil kerja yang cukup menawan kerana dipenuhi dengan tanda tanya yang menarik perhatian kepada para penonton di dalam panggung.


Persoalan tentang Min ini menjadi semakin menarik apabila si roh berada di sekolah dan sedang belajar untuk mengenali rakan-rakan Min. Pada waktu inilah konflik berlaku apabila si roh menyedari yang dia jatuh cinta dengan Pie yang merupakan seorang pelajar wanita yang pintar dan popular di sekolah tersebut. Ini menyebabkan si roh ingin terus kekal di dalam jasad Min untuk merasa kebahagiaan bercinta dengan Pie. Namun sedikit demi sedikit, karakter sebenar setiap watak-watak ini mula terbongkar satu demi satu yang membuatkan aku terkedu seketika. Ia sangat menarik kerana filem ini menampilkan subteks yang sangat banyak melalui teras utamanya iaitu masalah membunuh diri dimana setiap permasalahan yang dimasukkan di dalam cerita ini sememangnya menjadi punca kepada gejala yang tidak sihat ini untuk terus menerus berlaku. Permasalahan utama berkaitan keluarga berjaya ditonjolkan dengan sangat baik sekali dimana apabila terjadinya keretakan rumah tangga antara kedua ibu bapa dan pastinya si anak yang akan menerima kesannya daripada segi emosi. Kemudian, dipaparkan pula hubungan antara abang dan adik yang tidak positif yang menjadi antara punca sesebuah keluarga itu dianggap sebagai gagal berfungsi dengan baik di dalam memberi kebahagiaan kepada ahli-ahlinya tetapi sebaliknya menambah beban kepada kehidupan yang penuh dengan cabaran pada masa kini.


Apabila permasalahan di dalam keluarga tidak dapat diselesaikan, remaja yang bermasalah selalunya mengharapkan kepada rakan-rakan atau teman istimewa untuk meredakan ketegangan yang dihadapi. Jadi, apabila dipaparkan tentang diri sebenar Pie yang penuh dengan sifat kejijikan membuatkan Min tidak dapat menerimanya. Jadi, hal ini sebenarnya memberi jawapan kepada punca-punca Min membunuh diri. Tetapi, ia bertentangan pula dengan sikap roh yang menumpang jasad Min ini kerana pada satu babak ada dipaparkan si roh menghalang Pie daripada membunuh diri kerana pada peringkat awalnya si roh telah melihat dan belajar bahawa kesan yang berlaku selepas Min membunuh diri bukannya positif tetapi sebaliknya sangat negatif di kalangan ahli keluarganya. Ini yang aku lihat antara satu perkara menarik yang berjaya dipaparkan dimana ia menunjukkan perspektif semua watak ini terhadap amalan membunuh diri. Bagi watak Min, membunuh diri merupakan satu penyelesaian yang akan menyelesaikan masalah hidupnya kerana kepercayaan yang dipegangnya bahawa tiada siapa yang meyayanginya dan apa gunanya untuk dia terus hidup. Namun, berlainan pula dengan watak lain yang sebenarnya menyayangi dan menghargai Min tetapi perasaan itu tidak mereka gambarkan atau tunjukkan ketika Min masih hidup. Jadi, aku melihat filem ini berjaya membawa nilai-nilai murni dan moral positif yang dipegangnya sejak awal filem lagi iaitu amalam membunuh diri adalah satu kerja yang sia-sia dan bukannya penyelesaikan kepada satu-satu masalah tetapi sebaliknya menimbulkan pelbagai lagi masalah di kemudian hari.


Cuma satu sahaja permasalahan filem ini yang aku nampak ialah walaupun ini merupakan sebuah filem Thailand tetapi ia kelihatan terlalu dekat dengan filem-filem Jepun. Memang filem ini merupakan adaptasi daripada novel Jepun tetapi unsur tempatan Thailand kelihatan hampir hilang di dalam keseluruhan filem ini. Walau bagaimanapun, filem ini telah berjaya membawa perspektif menarik tentang kehidupan daripada kedua-dua sisi kehidupan sama ada sisi gelap mahu pun sisi yang cerah. Babak akhir filem ini bagi aku sangat menarik dan aku yakin sangat berjaya membuatkan para penonton untuk lebih menghargai erti kehidupan dan menikmatinya selagi masih bernafas. Serius kekuatan utama filem ialah tentang mesej kehidupannya yang sering kali terlepas pandang oleh kebanyakan manusia yang sering mengikut pandangan luaran tetapi terlepas isi dalaman.


Secara peribadi, filem ini wajib ditonton oleh anda semua kerana walaupun ia membawa mesej yang sedikit berat tetapi ia bijak disampaikan melalui gaya penceritaan yang sederhana dan mesej tersebut berjaya menuju tepat kepada hati penonton. Jika tidak percaya, anda boleh menonton filem Homestay di pawagam berhampiran anda sekarang dan jangan lupa tinggalkan pandangan anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawah. Semoga terhibur!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Filem The Kid Who Would Be King. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan