Review Filem Take Point


Filem:
Take Point

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Kim Byung-Woo

Genre:
Aksi

Pelakon:
Ha Jung-Woo, Lee Seon-Gyun, Jennifer Ehle,
Kevin Durand, Kang Shin-Cheol, Yang Ji-Soo & Etc.

Tarikh Tayangan:
10 Januari 2019

Pengedar:
MM2 Entertainment Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini berlatar belakang tahun 2024, pada hari pilihan raya A.S, sepasukan tentera upahan elit dalam misi rahsia CIA untuk menculik Menteri Pertahanan Korea Utara di kubu bawah tanah Korean Demilitarized Zone (DMZ). Bagaimanapun mereka terperangkap di tengah-tengah pertempuran dan situasi semakin tegang, ia berkemungkinan akan mencetuskan perang dunia ketiga. Saksikan filem aksi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 10 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Filem Korea seterusnya untuk minggu kedua bulan Januari yang telah aku tonton ialah filem Take Point bertempat di Amerin Cineplex pada 15 Januari 2019 yang lepas. Filem dwi bahasa dimana bahasa Inggeris lebih banyak dituturkan berbanding bahasa Korea ini memaparkan tentang kisah Ahab yang bertindak sebagai ketua untuk pasukannya yang berasal dari pelbagai negara yang tidak mempunyai dokumen tetapi bertugas untuk pihak CIA. Permulaan filem ini agak menarik kerana ia dimulakan dan membawakan tentang permasalahan kuasa politik antarabangsa serta kekuatan tentera antara empat negara kuasa besar sama ada dalam ekonomi mahu pun ketenteraan iaitu Korea Selatan, Korea Utara, Amerika Syarikat dan China.


Filem ini agak unik dan istimewa apabila dilihat bijak memaparkan situasi, permainan politik serta propaganda sesebuah negara yang menggunakan kuasa politik dan media untuk mengekalkan kuasa tetapi pada masa yang sama memusnahkan negara lain untuk kepentingan legasi pemerintahan mereka. Ini dapat dilihat apabila filem Take Point begitu berani mengangkat dan bermain dengan isu tentang kisah pilihan raya Presiden AS yang tidak popular dan cuba mengalih perhatian dan mendapatkan sokongan dengan melaga-lagakan ketiga-tiga negara iaitu Korea Selatan, Korea Utara dan China melalui serangan palsu peluru berpandu Scud dan menggunakan kuasa media untuk memanipulasi pemikiran masyarakat dunia. Ini antara faktor yang menjadikan filem ini cukup menarik dan berani pada pandangan aku sendiri kerana sememangnya media sama ada cetak mahu pun elektronik selalu dijadikan sebagai alat propaganda untuk pihak-pihak ini mengekalkan kuasa mereka di puncak.



Take Point juga berjaya menyentuh sisi kemanusiaan pula melalui watak utamanya iaitu Kapten Ahab yang dipaparkan melalui karakter yang sebenarnya menghargai kehidupan manusia. Aku cukup suka dengan beberapa babak yang dihubungkan dengan watak ini seperti babak bercakap dengan isteri yang dalam proses melahirkan anak di saat genting dan juga babak-babak yang melibatkan Ahab dengan rakan-rakan sepasukannya yang sentiasa mengutarakan tentang hal keluarga. Walaupun pada permulaannya penonton cuba ditanam dengan pandangan awal tentang Ahab dan rakan sepasukannya hanya memikirkan tentang jumlah bayaran yang tinggi sahaja namun secara perlahan-lahan filem ini mengembangkan perwatakan setiap watak-watak di dalam filem ini yang lebih menjurus kepada nilai kekeluargaan. Satu perkara yang agak menarik dan wajar dipuji untuk sebuah filem aksi seperti ini.



Filem ini juga bijak di dalam menyampaikan mesej keamanan kepada negara seberang iaitu Korea Utara melalui babak-babak pertemuan dan kerjasamana antara Ahab dan watak doktor kepada King iaitu dari Korea Utara seperti di dalam satu dialog yang berbunyi,"Sekiranya kita mahu keluar dari sini hidup-hidup, kita berdua perlu bekerjasama!" Secara tidak langsung, ia membawakan banyak mesej positif yang cukup menarik dan dramatik melibatkan kedua-dua negara dan berjaya menyindir keras negara-negara kuasa besar dunia tentang persoalan penipuan pilihan raya, kerosakan dunia akibat ketamakan kuasa pemimpin negara besar dan penyalahgunaan media untuk tujuan propaganda yang berniat jahat dan songsang.


Namun, aku melihat terdapat kelemahan daripada segi kesinambungan dan hubung kait setiap plot penceritaannya disebabkan banyak watak-watak yang ditimbulkan tidak berjaya diperkembangkan dengan sebaik mungkin. Ada beberapa watak yang telah disia-siakan kewujudannya dan ada juga beberapa watak yang langsung tidak memberi impak kepada penceritaan. Selain itu, konsep 'kebetulan' yang di amalkan di dalam penceritaan filem ini membuatkan aku melihat ia sebagai satu jalan mudah yang menampakkan kemalasan di dalam kreativiti pengkisahan naskhah ini. Secara tidak langsung ia menyebabkan plot cerita mudah untuk diramal dan rasa teruja itu digantikan dengan sedikit rasa kebosanan yang sepatutnya boleh dielakkan.



Walau bagaimanapun, filem Take Point masih menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton kerana selain berjaya memaparkan babak-babak aksi yang bertaraf antarabangsa serta juga membawakan mesej-mesej berat yang penuh sinis tentang politik antarabangsa, filem ini juga membawa elemen-elemen kemanusiaan dan pengorbanan yang cukup menarik melalui watak Ahab dan rakan-rakan sepasukannya yang mempunyai pelbagai impian dan cita-cita tentang makna sebenar kehidupan. Jadi, selamat menonton filem Take Point di pawagam berhampiran anda dengan segera sebelum terlambat. Seperti biasa jangan lupa kongsikan pandangan anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawah. Semoga terhibur!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Dinanti Kaki Wayang Malaysia Iaitu Filem XXRAY 3! Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Terima kasih Hans di atas usaha mengeluarkan review ini. Seperti biasa, amat setuju sekali dgn Hans. Tambah sikit, saya rase amat kekok tengok pelakon Ahab tu bercakap English, tak natural langsong. Overall not bad, watchable and entertaining...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      sebab dia Korea kan
      filem nih entertaining lah juga

      Padam