Review Filem Crawl


Filem:
Crawl

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Alexandre Aja

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Kaya Scodelario, Barry Pepper, Ross Anderson, Anson Boon & Etc.

Tarikh Tayangan:
11 Julai 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang wanita muda cuba menyelamatkan bapanya ketika ribut taufan Kategori 5. Dalam cubaannya itu, dia terperangkap dalam sebuah rumah yang banjir dan mendapati dirinya perlu melawan sekumpulan buaya ganas. Saksikan filem yang penuh aksi mendebarkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 18 Julai 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula terlebih rajin pada minggu lepas dengan menyertai pelbagai peraduan dan rezeki nampaknya memihak kepada kami apabila memenangi 3 peraduan tiket wayang filem Crawl. Jadi, terima kasih kepada pihak WOB, Says dan Klips kerana memilih kami sebagai pemenang anda. Jadi, kami telah berjaya menonton filem Crawl ini di TGV Cinemas One Utama pada 10 Julai 2019 yang lepas.


Filem ini menggabungkan dua permasalahan alam semula jadi iaitu tentang ribut taufan serta sekumpulan buaya-buaya ganas yang mana ia terpaksa dihadapi oleh beberapa manusia yang terpilih untuk menyelesaikan permasalahan yang tidak diduga ini. Selalunya, filem-filem berkonsep pertembungan antara manusia dan haiwan ini lebih gemar memaparkan haiwan air seperti jerung atau piranha. Haiwan reptilia pula lebih kepada ular atau aligator sebagai pilihan kepada konsep sebegini. Apabila sekali lagi aligator digunakan untuk konsep filem Crawl, kami melihat ini adalah satu pilihan yang tepat dan menarik untuk ditonton di layar perak.


Kami melihat filem Crawl mempunyai kekuatan serta kelebihan terhadap dua perkara iaitu pertama dari segi teknik visual (VFX) yang sangat cantik diaplikasikan di dalam filem ini dimana ia dapat dilihat dengan cukup jelas berkaitan rupa, pergerakan serta pengekalan kontinuiti fizikal aligator yang berjaya dijaga dengan rapi dan kemas sepanjang filem. Ia adalah sesuatu yang cukup mengagumkan untuk melihat setiap babak yang melibatkan Aligator ini langsung tidak kelihatan comot atau kantoi pada pandangan mata kami. Apa yang kami pasti, rupa keseluruhan aligator di dalam filem ini berjaya dihasilkan dengan cukup sempurna dan begitu realistik yang menjadikan elemen-elemen seram dan misteri berkaitan makhluk ini berjaya dizahirkan dengan cukup baik. Walaupun ada beberapa kelemahan terutama dari segi Digital Compositing yang dapat dilihat pada beberapa adegan bencana taufan dan hujan pada bahagian luarannya namun ia masih tidak mencacatkan penceritaan filem ini jika dilihat daripada sudut tersebut.


Kami juga cukup menyukai hasil gerak kerja kamera yang dapat dilihat cukup cantik terutamanya pada babak-babak yang melibatkan dron dan memberi fokus kepada serangan beberapa ekor aligator terhadap mangsa yang terlibat. Selain tu, kesan solekan ngeri filem Crawl ini juga sangat meyakinkan kerana ia kelihatan betul-betul mengerikan dan mampu membuatkan segelintir penonton berasa mual jika anda tidak sukakan elemen-elemen gore seperti ini. Namun, pada kami hal ini merupakan satu bonus yang memberi tambah nilai kepada filem Crawl ini yang sebenarnya mempunyai kelemahan besar dari sudut plot penceritaannya yang sangat caca marba bila dilihat dan digali kembali selepas selesai tontonan.


Filem Crawl ini terlalu mencuba untuk menjadi sesempurna mungkin sehingga akhirnya ia menjadikan beberapa plotnya kelihatan sangat aneh, lemah dan terlalu mudah untuk dipersoalkan. Bermula dengan konflik perhubungan di antara anak dan bapa yang agak lemah kerana terlalu mengharapkan kepada babak imbas kembali kenangan tentang kejohanan renang tidak terlalu membantu kisah perhubungan ini berkembang dengan baik. Kemunculan Aligator yang sebenarnya telah lama menumpang teduh di bawah rumah tersebut berdasarkan kepada kemunculan telur-telur yang ada sebahagiannya menetas juga membuktikan yang kisahnya ditulis semborono dan terlalu malas. Hubungan yang cuba dibina melalui papan tanda ladang aligator, papan tanda 'Awas! Kawasan ini ada aligator!' serta lubang paip yang bersambung dengan rumah juga telah menimbulkan kelompongan cerita atau plot hole yang sangat besar dan merosakkan keseluruhan kisah filem ini. Belum lagi ditambah dengan beberapa adegan yang terlalu mencuba untuk kelihatan terlampau dramatik sehingga tanpa sedar menjadikan filem ini yang sepatutnya boleh berakhir dengan lebih baik menjadi sebaliknya.



Filem Crawl sebenarnya mampu pergi lebih jauh dan mampu memberi kepuasan yang maksimum jika pihak produksi yang terlibat tidak terlalu gemar mengambil jalan mudah seperti mana yang kami tonton di dalam filem ini sebentar tadi. Setiap watak sebenarnya boleh diberi pilihan yang lebih baik tetapi setiap keputusan yang dilakukan oleh watak-watak ini telah digarap dengan cara yang selamat. Kami percaya penerbitan filem Crawl ini hanya memikirkan untuk menarik perhatian penonton melalui aksi-aksi yang cemas dan menakutkan tetapi tidak memberi penekanan yang baik kepada jalan ceritanya. Ini menyebabkan filem ini hanya sesuai ditonton sebagai hiburan semata-mata dan jangan harapkan yang lebih daripada karya komersial sebegini. Kami akui filem ini menghiburkan jika apa yang anda cari hanyalah berkaitan dengan aksi, suspen serta elemen gore. Namun, jika anda mementingkan jalan cerita maka filem ini gagal teruk dari sudut tersebut. Secara keseluruhan, filem Crawl tidak memberikan sebarang keunikan yang membanggakan namun hasil CGI aligatornya memang tidak dinafikan sangat terbaik dan membantu mana-mana penonton untuk lebih dekat dengan filem ini. 


Jadi, selamat menonton filem Crawl di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 11 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apakah Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Semua? Nantikan!

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. dah kuar dah kat Msia? kat sini kuar next month.. Iris heboh nak tgk ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. eh Mummy Ayu tinggal dimana?
      Dekat Malaysia dah hari nih keluar secara rasminya

      Padam
  2. Memang ditunggu ulasan filem ni. TQ TQ. Kalau berkesempatan tonton dan ulas filem Super 30 lakonan Hrithik Roshan pula, yeah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Super 30 ada kawan dah tengok dan dia cakap best
      tentang Matematik.
      Hans lambat tengok sebab ada trip ke Perak sampai Ahad nih

      Padam
  3. Best ye... TQ Hans, Insyaallah saya akan tonton

    BalasPadam
    Balasan
    1. untuk enjoy best lah sebab buaya dia lawa...banyak babak guna jumpscare..so far berbaloi kalau tak kisah sangat pasal storyline :)

      Padam