Review Filem Kingdom


Filem:
Kingdom

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Shinsuke Sato

Genre:
Aksi & Pengembaraan

Pelakon:
Kento Yamazaki, Ryo Yoshizawa, Masami Nagasawa, Kanna Hashimoto, Kanata Hongo & Etc.

Tarikh Tayangan:
18 Julai 2019

Pengedar:
Primeworks Studios

Sinopsis:
Filem ini merupakan sebuah adaptasi dari sebuah siri Manga yang diterbitkan sejak tahun 2006 dimana ia menggambarkan negara China ketika Tempoh Berperang Negeri-Negeri. Ia menceritakan tentang seorang anak yatim piatu bernama Shin yang bercita-cita untuk keluar dari kancah kemiskinan sebagai seorang hamba dan menjadi seorang jeneral terhebat Kerajaan Qin. Shin kemudian ditemukan dengan Eisei yang merupakan Maharaja Qin. Mereka berdua bekerjasama untuk mendapatkan semula takhta Esei dan menyatukan negeri-negeri China yang sedang berperang ini. Adakah mereka berjaya merampas kembali takhta tersebut? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 18 Julai 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak Primeworks Studious untuk menghadiri tayangan Gala Premiere Filem Kingdom bertempat di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 9 Julai 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan semua, Kingdom adalah sebuah filem aksi pengembaraan yang telah diarahkan oleh Shinsuke Sato yang sebelum ini sangat dikenali dengan karya-karya hebat dan popularnya seperti Bleach, Gantz dan Death Note: Light Up the New World.


Filem ini juga merupakan sebuah adaptasi dari sebuah siri Manga karya Yasuhisa Hara dan diterbitkan oleh Shueisha sejak tahun 2006 lagi. Siri Manga ini telah diterbitkan sebanyak 54 siri dan telah terjual lebih daripada 40 juta cetakan seluruh dunia. Dengan latar masa yang menggambarkan negara China di dalam era Tempoh Berperang Negeri-Negeri, filem yang menelan belanja sekitar 1 bilion yen telah mencapai kutipan filem pecah panggung di Jepun dimana filem ini memperoleh lebih daripada 5 bilion yen dengan jumlah tontonan sebanyak 3.7 juta. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan.


Kami sebelum ini pernah menonton filem Inuyashiki yang diarahkan oleh pengarah yang sama iaitu Shinsuke Sato namun filem Kingdom telah membuktikan Sato sangat berani untuk keluar daripada lingkaran zon selesanya dimana ia dapat dilihat dengan jelas melalui filem Kingdom ini yang bukan sahaja berjaya menggabungkan kisah sejarah tempatan China dengan pelbagai elemen menarik tetapi ia turut berjaya dibawakan dengan naratif penceritaan yang laju sehingga menaikkan adrenalin kami untuk sentiasa segar menonton filem ini daripada awal sehingga ke akhir kisahnya.


Kami sangat menyukai susunan plot dan penceritaan filem Kingdom ini dimana kami melihat ianya berjaya distrukturkan dengan sangat kemas. Pemilihan kisah-kisah yang penting untuk dimasukkan di dalam filem ini membuatkan kesemua watak yang wujud di dalam Kingdom sama ada watak utama, pembantu mahu pun kecil-kecilan berjaya dikembangkan dan diperjelaskan kisah mereka dengan cukup baik kepada penonton yang langsung tidak pernah membaca Manga seperti kami. Bermula daripada pengenalan watak jeneral Ouki yang tampil ringkas tetapi mencengkam sebelum disusuli pula oleh kisah dua watak utama iaitu Shin dan Hyou yang mana pembangunan watak mereka daripada kecil membawa kepada besar jelas memberi satu makna yang jelas kepada penonton tentang nasib kehidupan seorang hamba dan usaha mereka di dalam mengubah takdir ke arah yang lebih baik melalui satu jalan iaitu mata pedang. Lebih menarik apabila penceritaan mula bermain dengan cetusan konflik yang ditimbulkan dengan cukup baik bermula dengan Hyou yang dipilih oleh pihak raja Eisei untuk bekerja di istana sebelum ia berkembang dan memperkenalkan kepada penonton banyak lagi watak-watak yang unik dan menarik seperti You Tan Wa (pemimpin puak Gunung), Ka Ryou Ten yang tampil comel dengan kostum burung tetapi penuh dengan misteri dan kejutan yang tidak disangka serta banyak lagi watak-watak aneh lain yang membuatkan anda terasa seperti betul-betul berada di dalam dunia manga yang sangat menarik dan menyeronokkan hasil daripada imaginasi yang sangat tinggi daripada penulis, pengarah dan barisan editor filem ini.


Satu perkara yang kami ingin puji tentang filem Kingdom ini ialah filem ini berjaya mengekalkan kisah Shin sebagai teras utama filem tanpa sesekali pun melupakan atau mengabaikan watak ini pada mana-mana babak sekali pun. Kisah Shin ini pula kemudiannya berjaya digabungkan dengan kisah penceritaan semua watak-watak lain yang mempunyai peranan serta tanggungjawab yang sama berat di dalam penceritaan. Ini menjadikan kisah-kisah mereka berjaya dimanfaatkan dengan cukup baik untuk menjadikan durasi filem ini yang agak panjang iaitu sekitar dua jam langsung tidak terasa lama. Selain itu, setiap kisah-kisah yang melatari filem ini juga membuatkan kami sangat teruja untuk menafsirkan sendiri dan ia boleh dilihat pada kisah-kisah berkaitan persahabatan antara Shin dan Hyou, kisah Shin bersama Raja Esei, kisah misteri gadis burung Karyouten, sengketa yang berlaku antara puak Shin dan puak Gunung pada zaman lampau serta bagaimana punca kemarahan sehingga berlakunya pemberontakan di istana serta banyak lagi yang berjaya dimampatkan tanpa melelahkan penonton untuk menghadam cerita-ceritanya. Pada masa yang sama, kami tetap terhibur sepanjang masa disebabkan setiap peralihan babak-babaknya sentiasa bergerak lancar tanpa ada kisah-kisah yang disampaikan secara meleret. Lebih penting setiap frasa dialog di dalam filem ini mempunyai isi yang menjadikan filem ini sebuah filem epik yang sangat mengagumkan kami.



Salah satu keistimewaan serta kekuatan filem Kingdom ini yang kami nampak ialah dari sudut kesan khas serta teknik koreografi yang digunakan dimana ianya sangat mengasyikkan. Melihat kepada setiap babak-babak aksi di dalam filem ini akan membuatkan mulut anda ternganga kerana setiap adegan sama anda melompat, terpelanting, memanjat gunung atau pun semasa pertempuran berjaya dikoreografi dalam keadaan yang cukup kemas, mengujakan dan penuh dramatik. Begitu juga dengan teknik CGI mereka yang berjaya mengagumkan kami terutama melalui paparan visual tempat tinggal puak Gunung yang nampak sangat realistik selain daripada keadaan istana dan bilangan tenteranya yang ramai yang mengingatkan kami kepada kualiti filem Hollywood yang bergenre sama. Begitu juga dengan teknik khas solekan ngeri yang berjaya membuatkan kami berasa sedikit gerun pada beberapa bahagian adegan pertempuran yang boleh kami sifatkan mempunyai sedikit elemen gore yang tidak keterlaluan.


Filem Kingdom juga tidak terlepas daripada menggunakan formula komersial kapitalis namun ianya berjaya dilakukan dengan cukup gah dan menampilkan keputusan yang cukup menarik. Ini kerana selain mempertaruhkan elemen aksi yang memukau, filem ini juga tidak lekang daripada membuatkan anda sentiasa tertawa disebabkan unsur-unsur humor yang disampaikan dengan gaya yang bersahaja, spontan dan menariknya semua adegan tersebut menjadi. Selain itu, beberapa kejutan yang diberikan oleh watak-watak antagonis kecil-kecilan yang muncul di skrin berjaya memberikan impak yang bukan sekecil-kecil anak tetapi pasti membuatkan anda teruja seperti kanak-kanak kecil saat menyaksikan persembahan mereka yang sungguh hebat dan lincah. Ada tiga adegan yang menampilkan watak antagonis kecil-kecilan ini iaitu babak permulaan Shin berjumpa dengan kumpulan penyamun, pertempuran Shin dengan seorang lelaki psiko di kawasan hutan buluh serta perlawanan Shin dan makhluk besar berwajah aneh yang sukar untuk ditewaskan. Belum lagi dengan babak-babak yang melibatkan watak-watak antagonis utama yang pastinya membuatkan sesiapa sahaja yang gilakan filem aksi akan jatuh cinta dengan filem ini tanpa syak wasangka lagi.


Filem Kingdom juga berjaya menyampaikan mesej-mesej seperti nilai persahabatan, keamanan, kekeluargaan, taraf dan darjat, kuasa serta impian hidup melalui bantuan setiap watak-wataknya dengan cukup kreatif. Kami dapat melihat tentang impian hidup serta usaha Shin dan Hyou yang ingin keluar daripada kehidupan hamba yang menyedihkan dan bagaimana elemen persahabatan yang dibina ini berakhir dengan melodrama yang cukup mencengkam jiwa. Kami juga dapat melihat kejujuran watak Karyouten yang sudi membantu demi mendapatkan ganjaran. Kami juga dapat melihat watak Youtanwa yang masih percayakan kepada kejujuran manusia walaupun sebelum ini nenek moyangnya daripada puak Gunung menjadi mangsa khianat puak Qin. Begitu juga dengan hubungan adik beradik yang berantakan disebabkan kebencian kepada perbezaan status antara golongan raja dan golongan bawahan dan ianya berjaya dipaparkan dengan gaya yang ringan tetapi seronok untuk dilihat. Begitu juga tentang budaya ketaatan masyarakat China pada zaman tersebut terhadap pemimpin mereka yang dipaparkan di dalam dua sisi iaitu positif dan negatif dimana kami sendiri turut dapat merasa nilai patriotik yang diterapkan di dalam penceritaan filem ini. Hal ini berjaya disampaikan dengan baik melalui persembahan lakonan serta penjiwaan yang cukup baik tanpa ada sebarang unsur klise atau stereotaip diletakkan pada watak-watak tersebut. Semua watak di dalam filem ini berjaya mengekalkan keperibadian mereka dan ini yang menjadikan filem ini sangat unik daripada segala segi. Kami yakin anda pasti akan menyukai watak Shin lakonan Kento Yamazaki yang menampilkan satu karakter yang cukup realistik buat orang marhaen seperti kami dan anda. Secara keseluruhannya, filem Kingdom merupakan sebuah filem yang sangat baik bagi kami dan sudah pasti berada di dalam 10 filem terbaik 2019 yang anda wajib tonton pada tahun ini. 


Jadi, selamat menonton filem Kingdom di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 18 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Filem Crawl! Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

17 Ulasan

  1. Satu lagi film mendapat 10/10 dari Hans... mengigil dah ni... tak sabo nak tonton!! Heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      semoga gembira juga menontonnya nanti :)

      Padam
  2. WoW! 10/10 terus Mrs. A teringin nak tengok citer ni.
    Pelakon jepun tapi tak nampak macam jepun sangat mata bulat-bulat

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe...
      filem Jepun..cakap jepun..tapi cerita dia pasal negara China sebab manga dia macam tu.
      tengok lah..mana tahu minat sama

      Padam
    2. It is china history... Tidak hairan sebab china jepun korea are east asian cultural sphere that were historically influenced by the 10,000 year old ancient Han Chinese culture.

      Padam
    3. Yes Zhong Da Hong
      Like Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Thailand and Myanmar :)

      Padam
  3. Smlm baru tengok haha 2 jam pon tetasa mcm pendek

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      rasa sekejap jer kan padahal sebenarnya lama

      Padam
  4. Berjaya tonton disebabkan ulasan Hans 10/10. Memang amat berbaloi, amat jarang dpt tonton filem Jepun yg mengekalkan momentum dan fokus sehingga tamat. Plot, character, lokasi yg menarik membuatkan saya tidak berganjak dr tempat dudok. Adaptasi manga yg berjaya. Please, kami nak Part 2 pula. TQ Hans kerana rekemen film ini, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. alhamdulillah kalau terhibur
      kadang-kadang risau juga takut pembaca letak harapan tinggi tiba-tiba tak sama citarasakan

      Padam
  5. Saya khususnya, memang menunggu2 ulasan Hans. Saya amat2 berterima kasih dgn Hans kerana telah byk membantu saya memilih filem apa utk ditonton setiap minggu. Saya yakin apa yg Hans ulas dan rekemen secara keseluruhannya sama dgn citarasa saya. Teruskan usaha dan niat murni Hans itu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. In Sha Allah
      selagi mampu, berduit atau dipanggil ke screening filem maka akan terus menulis tentang ulasan filem :)

      Padam
  6. Okey, yg ni best..feel dia mcm tgk drama2 jepun yg luahan perasaan tu tersampai melalui dialog n kata2..10/10 jugak..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehee
      terbaik lah
      nak repeat tengok lagi ker tu?

      Padam
  7. Agree dgn ulasan awk..
    Cuma tertanya..
    Mereka guna bahasa apa ya..
    Ade part kedengaran bahasa Jepun..
    Pelakon2 pun dikalangan org Jepun..
    Pengarah nya pun Jepun..
    Cerita pun diadaptasi dr manga Jepun..
    Tapi latar belakang Zaman Cina Purba..
    I terkeliru sedikit..
    But overall 10/10
    I suke tema dr awal yg diangkat..
    Semangat setia kawan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. memang bahasa Jepun pun
      pelakon pengarah semua jepun
      cerita pasal negara China sebab Manga dia pun cerita tentang republik China zaman dulu2
      lagi pun Jepun, China, Korea kan termasuk dalam Asia Timur.

      Padam