Review Filem The Lion King


Filem:
The Lion King

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Jon Favreau

Genre:
Aksi & Pengembaraan

Pelakon:
Donald Glover, Seth Rogen, Chiwetel Ejiofor, Alfre Woodard, Billy Eichner,
John Kani, John Oliver, Beyonce Knowles, James Earl Jones & Etc.

Tarikh Tayangan:
17 Julai 2019

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:
Filem drama muzikal `live action` ini merupakan adaptasi daripada filem animasi klasik Disney pada tahun 1994 dengan judul yang sama. Ia mengisahkan seekor singa bernama Simba dan tentang pengembaraannya menjadi raja dimana ianya bukanlah mudah kerana mendapat tentangan daripada pakciknya yang mempunyai rancangan jahat untuk mengambil alih tahkta. Pertarungan untuk Pride Rock menyebabkan Simba terpedaya dengan helahnya dan melarikan diri dari tahkta. Tetapi, dengan bantuan dua rakan barunya iaitu Pumbaa dan Timon, Simba kembali untuk mengambil kembali haknya. Berjayakah Simba kembali menjadi raja di Pride Rock? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak TGV Cinemas untuk menghadiri tayangan istimewa untuk menonton filem The Lion King di TGV Central i-City, Shah Alam pada 20 Julai 2019 yang lepas. Apa yang menariknya kami dapat menonton filem ini di dalam TGV Family Friendly Hall bersama-sama dengan adik-adik cilik yang semestinya memeriahkan lagi suasana di dalam pawagam. Semestinya filem ini tidak asing buat sesiapa yang membesar sekitar era 90-an kerana filem asalnya ditayangkan pada tahun 1994 dan menjadi kegemaran ramai kanak-kanak ketika itu. Jadi, apabila pihak Disney telah mewara-warakan bahawa mereka akan menerbitkan filem The Lion King di dalam versi live-action, maka ia menjadi penantian ramai pihak termasuk kami. Jadi, persoalannya adakah filem The Lion King versi 2019 lebih menarik berbanding versi 1994? 


Daripada segi penceritaannya, kami merasakan tidak ada terlalu banyak perbezaan antara filem terdahulu dan yang terkini. Ia masih sama membicarakan tentang perjuangan seekor anak singa bernama Simba yang perlu menjadi raja di kawasan Pride Lands namun terhalang dek kerana usaha jahat sertai pakciknya yang bernama Scar yang kepingin mahu menjadi raja di kawasan tersebut. Jadi, para penonton akan dibawa untuk melihat perjalanan hidup Simba semenjak kecil sehingga lah Simba menjadi besar dan kembali mencabar pakciknya untuk menjadi raja yang sah di kawasan Pride Lands tersebut. Secara keseluruhannya untuk sudut jalan cerita, kami melihat ia sekadar sebuah kisah yang ringan dan kurang dramatik buat penonton dewasa. Tetapi, ia berkemungkinan besar menarik untuk ditonton oleh kanak-kanak kerana penyampaian plot ceritanya yang mudah difahami.


Apa yang kami menjadi kekuatan utama filem The Lion King ini ialah dari sudut teknologi animasinya yang ternyata sangat cantik. Ia membuatkan kami merasakan seperti menonton sebuah dokumentari hidupan liar yang mempunyai kisah penceritaan yang sangat menarik disebabkan hasil animasi setiap wataknya yang kelihatan sangat nyata dan asli seperti haiwan yang sebenar. Permulaan filem sahaja sudah membuatkan kami berasa sangat teruja apabila keseluruhan haiwan berkumpul untuk meraikan kehadiran Simba yang baru lahir. Keseluruhan latar serta animasi haiwan pada babak itu saja sudah cukup untuk kami nyatakan bahawa teknologi animasi yang digunakan ini bukan calang-calang anak dan ia membuktikan pihak Disney memang memberi fokus kepada hal tersebut saat menghasilkan filem The Lion King versi live action ini.


Ramai yang memberikan komen bahawa walaupun filem The Lion King diakui hebat dari sudut animasinya namun kelemahan ketara yang dinyatakan ialah berkaitan dengan emosi dimana watak-watak haiwan ini gagal menyampaikan emosi yang dikehendaki disebabkan wajahnya yang asli mengikut haiwan sebenar. Kami pula berpandangan sebaliknya kerana kami merasakan emosi babak-babak tersebut melalui dialog serta nada suara yang diungkapkan oleh watak-watak terbabit disamping sedikit bantuan daripada skor muzik pada adegan-adegan tertentu. Sebagai contoh, kami dapat merasai kesedihan yang dialami Simba saat ayahnya iaitu Mufasa mati dan dia ditakut-takutkan oleh pakciknya Scar sebelum melarikan diri. Kami juga dapat merasai kegembiraan dan kekeliruan Nala saat pertemuan semua antara dirinya dan Simba. Pada pandangan kami, seandainya anda menonton filem animasi Live Action sebegini, anda sepatutnya perlu merasai sendiri emosi tersebut melalui intonasi suara watak-wataknya tanpa perlu terlalu mengharap kepada emosi pada wajah animasi kerana ia telah dihasilkan agar menyerupai haiwan sebenar yang sememangnya sukar untuk dilihat emosi sebenar pada riak wajah mereka.


Secara keseluruhan, kami amat kagum dengan teknologi yang digunakan untuk filem The Lion King versi 2019 ini. Sebuah filem yang menghiburkan dan membawa banyak mesej-mesej yang baik dan bersesuaian dengan anak-anak kecil. Cuma disebabkan pemilihan plot ceritanya yang terlalu selamat menjadikan filem ini kelihatan hanya sekadar sebuah filem  animasi yang ringan dan kurang memberi impak kepada penonton dewasa seperti kami. Sekadar untuk ditonton dan berhibur di dalam wayang sebelum keluar daripada panggung sambil mengagumi hasil animasinya sebelum perlahan-lahan ia kembali hilang dari ingatan. 


Jadi, selamat menonton filem The Lion King di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Agak Menarik Konsepnya Iaitu Aadai! Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Konsep camni untuk binatang bercakap jadi pelik sikit la.. Kurang feel sebab takde ekspresi perasaan.. Rasa agak mendatar.. Entah camnela reaksi kalau kanak2 yg tengok.. Lagi best tgk kartun kot.. Huhu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. so far tengok budak-budak enjoy jer
      yang orang tua yang kurang enjoy
      hahaha

      Padam
  2. Saya pon dlm kategori tua juga... tapi saya layan film ni, walaupon dah tonton byk kali versi animasi tapi versi 2019 ni menarik dari segi teknikal yg memang A++. Mcm tonton National Geographic pon ada. Hakuna Matata... yeah!! Hehehe...

    BalasPadam