Review Filem IT: Chapter Two


Filem:
IT: Chapter Two

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Andy Muschietti

Genre:
Seram

Pelakon:
James McAvoy, Jessica Chastain, Jay Ryan, Bill Hader, 
Isaiah Mustafa, James Ransone, Andy Bean, Bill Skarsgård & Etc.

Tarikh Tayangan:
5 September 2019

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Sinopsis:
Filem ini merupakan kesinambungan dari filem pertama yang mana ia merupakan kisah setelah 27 tahun kejadian pada musim panas 1989 berlaku. The Losers` Club sudah dewasa dan berpindah jauh sehinggalah menerima satu panggilan telefon yang memaksa mereka pulang ke Derry, Maine, apabila musuh utama mereka iaitu It kembali. Mereka bersatu semula bagi menunaikan janji zaman kanak-kanak mereka untuk memusnahkan It buat selama-lamanya. Tetapi, makhluk itu kembali dengan lebih kuat dan menanti ketibaan mereka untuk membalas dendam. Saksikan filem seram yang sangat menarik dan mendebarkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 September 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak Warner Bros. Pictures untuk menghadiri tayangan istimewa filem IT: Chapter Two bertempat di GSC One Utama pada 3 September 2019 yang lepas. Apa yang menariknya kali ini apabila kami berkesempatan buat pertama kalinya menonton filem ini di dalam pawagam 4DX yang memberi kami lebih rasa untuk menikmati filem sekuel ini dengan penuh kenikmatan dan kegembiraan yang tidak pernah dijangka sama sekali.


Filem IT: Chapter Two kali ini menampilkan kisah Penny Wise yang kembali semula selepas 27 tahun ditewaskan oleh sekumpulan anak muda yang menamakan kumpulan mereka sebagai Losers Club. Melihat kepada durasi masanya selama 2 jam 45 minit pun sudah memberikan kami bayangan betapa padatnya penceritaan yang cuba disampaikan di dalam sekuel kali ini. Walaupun, bahagian pertama dihabiskan dengan pengenalan kembali watak-watak utama filem ini iaitu Bill, Beverly, Richie, Mike, Ben, Eddie dan Stanley melalui babak imbas kembali serta memori yang cuba mereka ingati semula dimana momentum penceritaannya berada pada paras yang sederhana namun pada kami ia sangat membantu untuk lebih memahami tentang peranan serta perkembangan watak itu sendiri untuk penceritaan filem kali ini.


Permulaan filem IT: Chapter Two kali ini bermula dengan adegan yang pada kami kurang meyakinkan atau tidak perlu iaitu tentang kisah cinta terlarang dua lelaki sebagai kisah sampingan untuk memberi petanda kehadiran semula Penny Wise. Jadi, kejadian ini pada kami agak samar-samar dan tidak kuat untuk digabungkan dengan kehilangan ramai kanak-kanak seperti yang dipaparkan pada awal filem ini. Kelihatan tiada langsung kesinambungan dari sudut tersebut dimana kisah awal tentang kematian tersebut langsung tidak bersangkut paut dengan kisah keseluruhan filem ini selepas itu. Nasib baik masa yang dibazirkan untuk adegan awal tersebut hanya seketika sebelum filem ini kembali berada di landasan sebenarnya untuk membenarkan setiap watak dewasa mewakili kumpulan kanak-kanak Losers Club bersinar dengan sebaik mungkin. Kami melihat para pelakon utama filem ini berjaya membina keserasian yang baik dimana elemen humor turut membantu meredakan ketegangan penonton terhadap beberapa adegan yang menyeramkan atau penuh dengan kejutan. Pada kami, nilai humor yang ada di dalam filem ini berjaya berfungsi dengan baik terutama melalui watak Ritchie dan Eddie yang berjaya membuatkan kami mampu ketawa walaupun di dalam babak yang mencemaskan.


Kami secara peribadi sangat menyukai mesej-mesej menarik yang dibawakan di dalam filem IT: Chapter Two kali ini melalui perkembangan watak-wataknya. Menarik untuk melihat perbezaan karakter setiap watak-watak ini apabila dibandingkan mereka sewaktu kecil dan apabila sudah menginjak dewasa. Majoritinya melalui transformasi perubahan yang mengagumkan namun terdapat satu dua watak yang masih kekal berpewatakan yang sama seperti kecil. Ia adalah sebuah rasionalisma yang agak menarik pada kami untuk melihat sisi perubahan watak yang bertukar 360 darjah selain diselitkan dengan elemen persahabatan, kekeluargaan, kepercayaan serta berkaitan dengan psikologi manusia itu sendiri. Hal-hal ini yang berjaya menjadikan plot penceritaan filem ini berjaya menambat hati kami untuk menyukainya tanpa sebarang paksaan.


Tidak dinafikan filem IT: Chapter Two kali ini menawarkan sejenis ketakutan yang berpaksikan kepada perasaan fobia wataknya melalui halusinasi dimana ia banyak bergantung kepada teknik janaan imej CGI di dalam hampir kebanyakan adegan. Ada beberapa babak yang berjaya memberi impak yang hebat kepada kami seperti adegan menarik di sebuah restoran Cina, gerak-geri watak nenek tua yang sangat menyeramkan melalui reaksi wajah serta pergerakan tubuh badannya yang menakutkan serta beberapa adegan lain yang bijak bermain dengan pengcahayaan yang suram serta skor bunyi yang menarik untuk memastikan anda sentiasa perlu bersiap sedia untuk menghadapi adegan-adegan seram yang penuh dengan kejutan ini. Pujian harus diberikan kepada watak Pennywise yang pada kami merupakan salah seorang bintang utama filem ini yang menyinar dengan cukup baik. Tidak dinafikan watak ini sememangnya mendapat bantuan menyeluruh sama ada dari sudut teknikal, solekan mahu pun sinematografi namun pada kami kemunculannya sentiasa berjaya memberikan sesuatu kejutan yang menarik perhatian dan adakalanya berjaya menimbulkan sisi ngeri serta ketakutan buat sesiapa yang menonton karakter ini. Ianya menjadi bertambah menarik apabila kami menonton di dalam pawagam 4DX dimana adegan-adegan ini terasa lebih dekat dengan kami apabila dapat merasai sendiri gegaran, kelajuan, angin serta tempias air seperti mana yang terdapat pada babak-babak di dalam filem ini. Walaupun tidak semua imej CGI filem ini yang berjaya membuatkan anda terasa ngeri namun aspek bantuan tambahan daripada pawagam 4DX betul-betul membantu untuk membeir nilai tambah kepada filem ini. Serius sangat berbaloi menonton di dalam versi 4DX.


Secara keseluruhannya, momentum filem ini walaupun agak perlahan pada bahagian pertama filem ini serta wujud beberapa babak yang tidak perlu serta kurang diberi penekanan sehingga menyebabkan kelompongan plot pada awalnya, namun kami merasakan filem IT: Chapter Two mempunyai sesuatu yang kuat dari sudut penceritaan serta perkembangan wataknya walaupun adakalanya ia kelihatan sedikit meleret. Namun, filem ini pada kami cukup rencah rasanya dimana segala-galanya masih mampu menyatu dengan baik untuk membuatkan kami terhibur sepanjang menonton filem ini sebentar tadi. Satu karya penutup yang pada kami tidak mengecewakan dan berbaloi menghabiskan masa yang lama untuk menonton filem ini di pawagam. Kami pasti akan merindui kelibat Penny Wise selepas ini! Hahaha!


Jadi, selamat menonton filem IT: Chapter Two di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 5 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini? Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

8 Ulasan

  1. Balasan
    1. tengok dekat panggung 4DX.
      confirm layan

      Padam
    2. Hans... masa layan di 4DX, popcorn tak bersepah, air tak tertumpah ke? Kerusi dia bergegar-gegar tu, heheh...

      Padam
    3. hahahaa...masa tengok nih tak beli air atau popcorn
      dia sebelum mula...ada penerangan juga pasal popcorn dan air
      tapi lupa dah

      Padam
  2. tak pernah tgk, dan tak mo tgk... takut hehehhe
    cuma IT ni kira kisah hantu ke orang? akak movie yg ada benda muka buruk2 dan darah mengerikan mmg tak berani sgt nk tengok... takat csi tu akak boleh lg lah

    BalasPadam
    Balasan
    1. kisah Hantu Badut tu
      ada lah juga part darah2 muntah2 nih.haha

      Padam
  3. 2jam 45min yg puas hati. Kuang ajo Clown kali ni, kuat menyakat, heheh. Yes setuju, ending dan penutup siri ini yg baik

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      tu lah pasal
      kali nih lain macam gaya dia sakat

      Padam