Review Filem Wira


Filem:
Wira

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Adrian Teh

Genre:
Aksi

Pelakon:
Hairul Azreen, Henley Hii, Fify Azmi, Dain Said, Ismi Melinda, Yayan Ruhian & Etc.

Pengedar:
Astro Shaw & GSC Movies

Tarikh Tayangan:
21 November 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Hassan yang telah membawa diri meninggalkan keluarganya sejak kecil dan kemudian menyertai tentera kerana tidak sanggup melihat keluarga serta orang sekelilingnya dikawal oleh Raja. Dia kembali ke pangkuan keluarga setelah selesai berkhidmat untuk negara. Demi menyelesaikan hutang adiknya Zain atas kekalahan pertandingan MMA yang dianjurkan oleh Raja, dia dan Zain perlu bertanding sekali lagi dengan anak-anak Raja, iaitu Vee dan Rayyan. Saksikan filem aksi yang sangat menarik ini untuk mengetahui kisah seterusnya bermula pada 21 November ini.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak GSC Movies untuk menghadiri tayangan media filem Wira bertempat di GSC Mid Valley pada 12 November 2019 yang lepas. Menyaksikan filem ini di atas kerusi Dbox memberikan satu pengalaman tontonan yang baru serta segar buat kami dimana filem Wira merupakan filem tempatan pertama yang bakal ditayangkan di dalam panggung Dbox di pawagam GSC terpilih. Jadi, adakah filem Wira merupakan salah sebuah filem yang berbaloi untuk anda tonton?


Filem Wira diakui mempunyai daya tarikan yang sangat kuat melalui elemen aksinya. Bukan sekadar dapat menonton persembahan aksi perlawanan serta pergaduhan yang sangat mantap daripada para pelakonnya seperti Hairul Azreen, Fify Azmi, Ismi Melinda dan Yayan Ruhian tetapi ia dipercantikkan lagi dengan koreografer aksi yang memukau sehingga membuatkan para pelakon pembantu juga dilihat menampilkan aksi pelbagai yang sedap dan menarik untuk dipandang. Banyak adegan aksi yang boleh diingati terutamanya adegan pada bahagian klimaks yang bukan sahaja mendebarkan tetapi lari daripada kebanyakan konsep filem-filem aksi lain yang terlalu cepat menamatkan adegan sebegini dengan memberi kemenangan mudah kepada watak protagonis. Hal ini berlainan di dalam filem Wira dimana ianya lebih bersifat dramatik dan menjadikan ia antara filem aksi terbaik di Malaysia pada tahun 2019 ini selain filem Geran.


Dari sudut lakonan, pelakon utamanya iaitu Hairul Azreen dilihat berjaya menampilkan satu peningkatan mutu lakonan yang memberangsangkan. Hairul sememangnya dilihat sangat cemerlang dan menyinar di dalam setiap adegan aksi yang melibatkannya di dalam filem Wira ini. Itu sememangnya kelebihan utama yang ada pada pelakon ini yang tidak dapat sesiapa pun nafikan. Namun, dari sudut persembahan lakonan pula, kami melihat prestasi Hairul ada turun naiknya terutama dari sudut lontaran vokal suara di dalam menyokong emosi yang diperlukan pada beberapa adegan. Ada yang meyakinkan dan ada juga yang kelihatan sedikit lemah. Tetapi, secara keseluruhannya Hairul telah berjaya memberikan satu peningkatan yang baik dan pelakon ini wajar diberi pujian di atas komitmen serta disiplinnya di dalam menjayakan watak Hassan ini. Fify Azmi pula adalah satu nama baru yang kami kenali namun persembahan lakonannya bagi seorang pelakon yang dikatakan baru belajar bertatih boleh kita ibaratkan seperti sudah terus berjalan dengan sempurna. Bukan sahaja hebat di dalam elemen aksi tetapi juga meyakinkan dari sudut emosi. Walaupun dapat dilihat juga pada beberapa adegan yang kelihatan persembahan lakonannya ada turun naiknya namun secara jujur kami kagum dengan kehebatan pelakon wanita ini. Pengarah hebat yang buat pertama kalinya muncul dalam layar perak sebagai pelakon pada tempoh masa yang sangat lama iaitu Dain Said juga berjaya memberikan satu kejutan yang sangat hebat untuk watak antagonis yang dipegangnya iaitu Raja. Kami sangat menyukai cara Dain Said menghidupkan watak tersebut dimana gerakan tubuhnya serta lontaran dialog yang diucapkannya berjaya menimbulkan satu rasa benci kepada kami yang menonton. Ini dilihat mencapai objektifnya untuk membuatkan watak Raja ini dilihat sebagai satu watak antagonis yang berjaya menyinar dengan baik di dalam filem aksi ini. 


Filem Wira juga dilihat kuat dari sudut elemen kekeluargaannya serta berjaya menyampaikan beberapa mesej menarik tentang kehidupan. Soal kehormatan diri, penindasan dan juga strata sosial masyarakat Melayu merupakan antara beberapa perkara yang telah disentuh di dalam filem ini. Walaupun sebahagian cara penyampaiannya di dalam filem kelihatan sedikit janggal dan tergesa-gesa namun ia masih boleh difahami dengan baik. Namun, kami boleh nyatakan bahawa olahan penceritaan untuk filem Wira ini dilihat lemah dan kurang meyakinkan pada beberapa bahagian manakala selebihnya dilihat berjaya menyinar dengan baik. Sinematografi filem ini juga dilihat bagus dan menyokong hasil kerja kamera yang serta teknik solekan ngeri pada beberapa adegan yang menakjubkan.


Namun, kami melihat filem Wira juga mempunyai beberapa perkara yang bercanggah dan ini memberi kesan kepada pengalaman tontonan kami untuk filem ini. Adegan awalnya yang memaparkan perihal kawasan persekitaran serta dalaman rumah flat yang penuh dengan masalah-masalah yang melanda orang Melayu kelihatan terlalu asing untuk diterima dari sudut penyampaian visualnya. Hal ini mengingatkan kami kepada perkara yang sama berlaku di dalam filem Munafik 2 berkaitan dengan masyarakat kampung di dalam filem itu. Walaupun latarnya berbeza tetapi masalahnya adalah sama iaitu berkaitan dengan penerimaan logik filem yang ideal untuk dilihat pada sesebuah naskah. Selain itu, filem Wira juga telah membuat satu kejutan pada penghujung ceritanya dimana sekali pandang memang dilihat apa yang cuba disampaikan itu sebagai satu bayangan untuk para penonton melihat naskah seterusnya yang kelihatan lebih menarik dan penuh tanda tanya. Namun, jika dilihat kembali tentang kejutan yang diberikan tersebut dan melihat semula kepada kisah terdahulu yang bersangkut paut dengan pembayang yang diberikan, kami melihat hal ini menyebabkan karya Wira ini kelihatan kucar-kacir secara tiba-tiba. Pada kami, filem Wira merupakan sebuah filem yang boleh berdiri sendiri tanpa dibayangi sebarang hal lain. Namun, jika filem ini dikaitkan dengan filem lain maka kami melihat ia memberikan satu masalah yang besar terutama dari sudut kronologi penceritaan itu sendiri. Hal ini akan lebih jelas jika anda menontonnya sendiri kerana kami tidak ingin berkongsi sebarang spoiler berkenaan hal tersebut. Kami menyukai filem Wira disebabkan elemen aksinya yang padu dan berbekas namun kami kurang gemar dengan corak penceritaannya yang tidak terlalu mendalam dan agak tergesa-gesa. Lebih merisaukan kami jika tanggapan serta rasional kami tentang babak akhir filem ini tepat maka ia akan memberikan satu mimpi buruk yang kami sendiri tidak dapat membayangkan kesannya terhadap filem ini nanti. Secara keseluruhannya, jika anda mendambakan sebuah filem yang penuh dengan aksi-aksi pergaduhan mahu pun pertempuran yang hebat maka filem Wira adalah jawapan kepada keinginan tersebut. 


Jadi, selamat menonton filem Wira di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 21 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Hollywood Iaitu Charlie's AngelsNantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

12 Ulasan

  1. ingatkan hans dah tengok hehehe... baik3 akak tunggu

    BalasPadam
  2. hampir nk tengok semalam tapi tak jadi..

    BalasPadam
  3. Rasa macam nak tengok tapi tak suka plak citer ganas- ganas ni...

    BalasPadam
  4. Babak akhir tu.. Adrian Teh sendiri pernah keluarkan kenyataan.. dia nak buat dunia filem tentang wira2 tak didendangkan.. dia bukan dalam 1 dunia yang sama.. konsep yang sama.. semua dikaitkan dengan PASKAL tu dikira sebagai tunjang je.. kita ada TUDM, TLDM, TDDM.. mcm2 boleh buat

    BalasPadam
    Balasan
    1. walaupun bukannya prekuel, tetapi storyline Wira nih masih tak menarik bagi aku.
      tetapi, aksi dia boleh layan.

      Padam
  5. Tunggu Andrian Teh buat filem tentang pasukan khas dari Gerak khas atau PASKAU pula.

    BalasPadam
    Balasan
    1. harap storyline dia bagus. mengharapkan pada aksi semata pun tak bagus juga kalau plot caca merba.

      Padam
  6. Patut 8/10. Kami sokong filem Malaysia

    BalasPadam
    Balasan
    1. kami bagi 6/10 jer sebab tak berapa kena dengan citarasa kami :)

      Padam