Review Filem Sangkar


Filem:
Sangkar

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Khabir Bhatia

Genre:
Aksi & Keluarga

Pelakon:
Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Nik Adam Mika & Etc.

Tarikh Tayangan:
29 Ogos 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang atlet MMA iaitu Adam yang ingin menebus kesalahannya terhadap Johan yang cedera parah akibat perlawanan mereka di luar gelanggang. Adam perlu bertarung dan memenangi pertandingan MMA bagi mendapatkan habuannya untuk membantu Johan dan keluarganya. Saksikan filem aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 29 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak Infinitus Gold Sdn Bhd untuk menghadiri Mega Fans Screening untuk filem Sangkar yang berlangsung di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 28 Ogos 2019 yang lepas. Dicanang-canang sebagai sebuah filem aksi sukan seni bela diri (MMA) pertama Malaysia maka sememangnya kami tidak sabar untuk melihat pelbagai aksi MMA yang melibatkan pertarungan antara Adam dan Johan yang dapat dilihat pada trailer filem ini sendiri. Namun, sangkaan kami sedikit meleset kerana filem ini sebenarnya lebih bertemakan kepada kekeluargaan serta agama.


Filem Sangkar merupakan sebuah filem yang sebenarnya sangat padat dengan elemen emosi yang menjadikan jalan ceritanya kelihatan berat. Namun, kebijakan pihak produksi menjadikan filem ini kelihatan ringan untuk diterima dan dihadam oleh penonton apabila pihak mereka memanfaatkan sepenuhnya elemen-elemen 'bromance' di antara watak Adam dan Johan untuk memastikan filem ini mempunyai unsur humor yang menarik, menjadi dan diingati oleh para penonton yang menonton filem Sangkar ini. Keserasian antara dua pelakon iaitu Remy Ishak dan Zul Ariffin dilihat menjadi. Kehebatan kedua-dua pelakon ini di dalam bermain ekspresi wajah serta kekuatan dialog masing-masing yang kelihatan spontan dan hidup juga banyak membantu untuk memastikan adegan-adegan yang melibatkan mereka akan terpahat di memori penonton. Kami sendiri sehingga kini tidak dapat melupakan beberapa momen menarik serta melucukan seperti adegan di dalam tandas yang melibatkan watak Adam dan Johan yang betul-betul menggamatkan suasana panggung dengan gelak tawa penonton.


Kami tidak nafikan mesej-mesej berkaitan dengan kekeluargaan serta keagamaan yang melatari plot cerita filem Sangkar ini merupakan satu percubaan yang baik di dalam menerapkan nilai-nilai positif ini di dalam jiwa penonton. Elemen ini diperkuatkan lagi dengan permainan emosi yang bijak diberikan dengan sepenuh jiwa oleh para pelakon utamanya. Namun, seperti ada satu kehilangan serta kejanggalan yang ketara apabila melihat gabungan antara elemen keluarga serta agama ini kelihatan sangat canggung dengan babak-babak aksi yang turut memenuhi keperluan jalan cerita. Melihatkan kepada filem ini yang sebenarnya menampilkan drama sebagai genre selain aksi, ia mengingatkan kami kepada kejayaan Kabir Bhatia pada filem atau dramanya sebelum ini dimana hal ini sememangnya merupakan kekuatan dan makanan buat Kabir. Hal ini dilihat berjaya memberi impak buat kami yang menonton filem ini. Namun, apabila menonton elemen aksinya pula membuatkan kami merasakan ia seolah-olah bukannya jiwa sebenar Kabir. Elemen aksi di dalam filem ini sangat banyak tetapi sebahagian darinya seolah-olah tidak punya jiwa. Bukannya kami menyatakan bahawa elemen aksi di dalam filem ini tidak bagus tetapi ianya juga semestinya bukan cemerlang. Kami setuju jika Kabir sentiasa istiqamah di dalam menghasilkan filem yang mempunyai elemen drama yang sarat dengan mesej kekeluargaan dan keagamaan kerana ianya dilihat sangat menjadi dan memberi kesan kepada kami. Tetapi, kami juga merasakan pengarah filem ini harus bertaubat daripada menghasilkan filem aksi yang keras atau 'hard core' seperti ini kerana pada kami filem aksi sememangnya bukan forte yang terbaik buat dirinya. Memang sebelum ini beliau pernah berjaya dengan filem aksi yang ringan seperti Setem dan Dollah Supestar tetapi sengatnya seperti sudah hilang dan Sangkar yang menjual MMA ini tampak terlalu berat untuk direalisasikan oleh beliau. Namun, jika Kabir masih ingin menyahut cabaran mengarahkan lagi filem aksi sebegini, kami harapkan Kabir mampu memberi kejutan buat kami nanti. 


Babak-babak aksinya sama ada di dalam gelanggang mahu pun diluar gelanggang memang banyak. Kami tidak nafikan tentang hal itu namun koreograf aksinya diolah yang pada kami tidak terlalu membantu memberi impak terhadap tontonan. Adegan-adegan yang melibatkan pertarungan gagal memberikan impak paling maksimum disebabkan momen-momen yang kami harapkan wujud di dalam aksi pertarungan ini tidak muncul seperti yang dijangka. Walaupun filem ini menampilkan atlet profesional MMA iaitu James 'Sledgehammer' McSweeney namun sayangkan pada kami permainan kamera serta cara suntingan untuk babak-babak pertarungan ini kelihatan 'choppy' dan terganggu dengan elemen drama serta 'bromance' antara Adam dan Johan. Pada kami, filem Sangkar agak kurang menggunakan hal-hal simbolik di dalam melambangkan perasaan atau tujuan setiap watak-wataknya yang membuatkan filem ini kelihatan terlalu lurus ke depan. Satu perkara lagi yang unik pada filem Sangkar ini ialah tentang tahap konsisten penceritaannya. Sangkar mempunyai beberapa perkara yang sangat bagus yang membuatkan kami menyukainya tetapi pada masa yang sama juga filem ini mempunyai kelemahan yang sangat ketara pada beberapa bahagian yang membuatkan kami agak kecewa. Namun, secara keseluruhannya filem Sangkar ini masih menghiburkan untuk ditonton dan sebagai sebuah filem sulung yang cuba menjadikan MMA sebagai sebahagian daripada kisah jalan ceritanya, kami berpandangan filem ini masih wajar diberi pujian atas dasar keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru dan memberikan satu pengalaman sinema yang menarik dan unik buat penonton Malaysia yang menyaksikannya di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Sangkar di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 29 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Dari India Yang Ditunggu Ramai Pada Tahun Ini Iaitu Sahoo. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

11 Ulasan

  1. 6/10 je... mesti ada yg tak kena. Takpe kita tunggu ulasan penoh, heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. 6/10 = Boleh tahanlah @ masih menghiburkan :)

      Padam
  2. Storyline dia nice,byk scene...ada nilai kekeluargaan, aksi,lawak spontan dan nilai keagamaan yg sedikit sebanyak mengingatkan kita

    BalasPadam
    Balasan
    1. storyline dia pada kami biasa tetapi menghiburkan sebab kekuatan dan keserasian pelakon..
      mesej2 agama dan kekeluargaan pun bagus tetapi terlalu straight forward...lagi cantik kalau banyak bermain dengan simbolik..
      apa2pun memang masih menghiburkan :)

      Padam
  3. Balasan
    1. wah tinggi yer
      bagus-bagus kalau suka dan terhibur :)

      Padam
  4. aku da tgk, jalan cerita mmg apa drama melayu haha 6/10..aku cuma nak puji level lakonan zul Ariffin memang level tersendiri..boleh dikatakan aura adam abdullah dlm filem tu menenggelamkan lakonan pelakon lain..padu jul ripin

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jul Ripin kali nih lebih berjiwa dan beremosi..hehehe

      Padam
  5. Visual cantik, yg part aksi dah bagus.. bile smpi part drama.. Leh buat modal tido la.. Agak slow.. Jalan cerita pun agak klise.. Nasib baik lakonan mantap..

    BalasPadam
  6. Dh tgk, tp ape komen pun aku x reti nk sebut 😂😂, menghiburkan tu je lah. (Aku spatutnya dok diam ni, tp gatai nk komen jugak)

    BalasPadam