Review Filem Paskal The Movie


Filem:
Paskal The Movie

Penilaian:
8 / 10

Pengarah:
Adrian Teh 

Genre:
Aksi & Patriotik

Pelakon:
Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah,
Hafizul Kamal, Theebaan G, Jasmine Suraya Chin, Amerul Affendi,
Namron, Dato' Eizlan Yusof, Tiger Chen Hu, Sherry & Etc

Tarikh Tayangan:
27 September 2018

Produksi:
Asia Tropical Films Sdn Bhd

Pelabur:
Asia Tropical Films Sdn Bhd
Golden Screen Cinema Sdn Bhd
Multimedia Entertainment Sdn Bhd
Granatum Ventures Sdn Bhd
Astro Shaw Sdn Bhd

Kos Produksi:
RM10 Juta

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Leftenan Komander Arman Anwar, seorang anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) iaitu pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia. Namun ibunya tidak merestui pekerjaannya kerana ayahnya juga seorang ahli PASKAL yang telah terkorban semasa menjalankan tugas. Apabila rakan sepasukannya terkorban dan seorang lagi diberhentikan, Arman membuat keputusan untuk berhenti. Namun, dia terhimpit dengan misi terakhir yang perlu diselesaikan. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda.

Ulasan:

Selepas ini kemungkinan besar filem Paskal akan turut mengisi slot di saluran televisyen tempatan pada tahun-tahun akan datang tambah-tambah sewaktu tibanya Hari Merdeka atau Hari Malaysia selepas sering sering kali kita disogokkan dengan filem-filem bergenre patriotik yang lain seperti Sarjan Hassan, Bukit Kepong dan Leftenan Adnan saban tahun. Filem-filem yang disebutkan tadi sering kali diulang tayang apabila tibanya hari-hari bersejarah negara dan ramai dari kalangan anda sendiri juga sering bersungut inginkan filem-filem tempatan bersifat patriotik dihasilkan oleh syarikat produksi tempatan. Pengarah filem ini, Adrian Teh yang sebelum ini pernah menerbitkan filem Ice Kacang Puppy Love pada tahun 2010 yang merupakan sebuah filem bahasa Mandarin tempatan pertama yang berjaya menembusi pasaran luar negara seperti China sekali lagi berjaya membuktikan magisnya di dalam menghasilkan filem Paskal The Movie dan sekaligus menghilangkan kehausan para peminat filem tempatan yang mendambakan filem aksi berjiwa patriotik seperti Paskal ini.


Filem ini yang bakal ditayangkan lebih dari 130 pawagam tempatan dan akan turut ditayangkan di negara Singapura, Brunei dan Turki berjaya memaparkan persoalan berkaitan pilihan setiap anggota PASKAL di dalam memilih antara negara atau keluarga. Memang menarik persoalan yang dibawakan ini kerana kisah hero yang tidak didendang ini sememangnya wajar difilemkan untuk membantu masyarakat Malaysia untuk lebih memahami, mengetahui, menghormati dan menghargai peranan setiap anggota badan beruniform negara yang terpaksa berjuang demi negara dan kita semua dengan menyerahkan jiwa dan raga serta meletakkan negara sebagai kepentingan utama berbanding keluarga.


Filem ini pasti akan membuatkan anda puas menyaksikan watak protagonis, antagonis dan tritagonis yang berjaya memberikan sepenuh penghayatan, emosi, gerak tubuh dan reaksi wajah yang cukup hebat. Watak protagonis Arman berjaya dipersembahkan dengan cukup baik sekali oleh Hairul Azreen yang pasti bakal membuatkan anda terpesona dan percaya bahawa apa yang anda tonton di layar itu ialah Arman dan bukannya Hairul. Susuk tubuhnya yang sasa dan sangat cantik begitu menghidupkan sisi maskulin watak Arman tersebut. Tidak dilupakan juga dengan watak Jeb iaitu watak antagonis yang bijak dibawa oleh pelakon Ammar Alfian dengan gayanya tersendiri yang jelas sekali kelihatan seolah-olah itu adalah keperibadiannya yang asli. Anda pasti akan menyumpah melihat sisi angkuh watak ini. Hairul dan Ammar berjaya memberikan kombinasi dan persefahaman yang menarik kepada watak-watak mereka sekaligus memberikan kekuatan kepada naratif filem ini untuk bertahan dengan aura positif selama 115 minit tanpa gagal. 


Jika sebelum ini anda merupakan salah seorang penonton yang suka memperlekehkan filem-filem tempatan yang kebanyakkan lebih gemar bermain atau menyuap penonton tempatan dengan 'elemen komersial wajib' seperti seram, hantu, cinta, lawak bodoh dan sebagainya. Namun,filem ini pasti akan membunuh persepsi anda dan menjadi kewajiban anda untuk ditonton kerana filem Paskal dipenuhi dengan pelbagai babak aksi yang berkualiti antarabangsa dan pasti membuatkan dua biji mata anda terpegun tidak berkelip-kelip dan secara tidak langsung menyebabkan mulut anda terlopong menganga seolah-olah tidak percaya ini adalah hasil kerja anak tempatan Malaysia. Diperkuatkan lagi dengan elemen kekeluargaan dan sedikit unsur humor yang berjaya memberi pengertian yang jelas buat anda dalam memahami lagi maksud sebenar ayat 'Antara Negara Dan Keluarga' yang menghiasi treler dan poster filem Paskal ini. Jangan risau kerana filem ini tidak mempunyai adegan atau babak-babak cinta anak orang kaya yang lepas tamat belajar perlu menggantikan jawatan bapa mereka sebagai CEO syarikat yang untung berbilion Ringgit Malaysia dalam setahun. Filem ini jauh lebih bernilai dan mempunyai harga diri yang tersangat tinggi daripada itu.


Menariknya filem Paskal ini kerana ia berjaya mengangkat kisah benar yang membuatkan anda bakal teruja bermula pada pengenalan awal filem ini lagi iaitu kisah Ops Fajar berkenaan pasukan Paskal yang terlibat di dalam merampas semula kapal dagang MT Bunga Laurel daripada serangan lanun Somalia yang berlaku di Teluk Aden pada tahun 2011. Selain itu juga paparan terhadap misi hebat anggota Paskal yang terlibat di dalam Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola pada tahun 1998 pasti bakal membuatkan jiwa anda tersentuh dan silap-silap boleh membuatkan air mata anda bercucuran gugur melihatkan babak-babak yang menyedihkan itu. Jika anda tidak percaya atau masih ragu-ragu, sila tonton dan hayati kisah-kisah yang wujud di dalam filem Paskal ini. Nescaya anda mampu mengubah tanggapan anda terhadap filem tempatan selepas ini. 


Filem ini juga secara tidak langsung pasti akan membangkitkan rasa bangga dan kagum anda terhadap kehebatan tentera kita serta aset-aset ketenteraan yang dimiliki oleh Malaysia. Sangat menarik melihat kegagahan dan kelincahan helikopter Super Lynx, kapal selam Scorpene, frigat KD Lekiu, pesawat C-130 serta banyak lagi yang dipertontonkan di layar perak melalui filem Paskal ini. Tidak dinafikan anda kini sudah boleh berbangga kerana kita sekarang sudah mempunyai sebuah lagi filem ketenteraan yang boleh dipuji dan diangkat sebagai salah satu naskhah yang cukup hebat. Secara tidak langsung filem ini boleh mengubah kepercayaan anda terhadap keupayaan pertahanan negara dan menjadikan anda lebih minat kepada subjek sejarah supaya kepercayaan karut anda bahawa Melaka tumbang ke tangan Portugis kerana menggunakan keris dan tombak boleh dikikis serta merta selepas ini. Hahaha!


Sinematografi di dalam filem ini juga bakal membuatkan mata anda terpukau menyaksikan keindahan pemandangan sekitar Semporna, Labuan, Kota Kinabalu dan Turki. Setiap adegan filem ini juga diperkuatkan dengan susunan muzik skor yang kemas bagi memberi sentuhan rasa kepada penonton untuk lebih menghayati keindahan dan kehebatan filem ini. Elemen drama, persahabatan dan kekeluargaan yang diwujudkan di dalam filem ini juga pasti meninggalkan kesan yang mendalam kepada anda seusai selesai menonton filem ini di panggung wayang nanti. Menarik untuk diliihat bagaimana babak melibatkan Arman dan ibunya yang pasti membuat anda berasa resah dan mati akal jika berada di kedudukannya. Juga menarik untuk dilihat bagaimana hubungan persahabatan dan kasih sayang yang dibina oleh anggota Paskal ini dimana nilai setiakawan mereka begitu hebat dan menjadikan nilai-nilai ini wajar dilihat dan diambil sebagai faktor tambah di dalam diri anda selepas ini.


Apa yang lebih membanggakan lagi ialah aksi-aksi lagak ngeri di dalam filem ini hampir kebanyakkannya dilakukan sendiri oleh para pelakon yang membuatkan anda pasti terpegun apabila melihat aksi-aksi mereka sepanjang filem Paskal ini berlangsung. Lebih membanggakan filem ini juga menampilkan barisan pelakon berbilang kaum sehingga membuatkan anda pasti tidak akan membanding-bandingkan sama ada mereka ini ialah kehebatan atau kebanggaan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau sebagainya. Filem Paskal telah berjaya memaparkan kesatuan Malaysia yang cukup indah dan harmoni. Sebuah filem yang cukup cantik bila anda melihatnya daripada sisi tersebut. 


Beberapa dialog yang menarik dan lucu yang terdapat di dalam filem ini juga pasti akan terngiang-ngiang di dalam fikiran anda usai menonton di pawagam nanti. Antara dialog-dialog yang menarik untuk dikongsikan adalah seperti dibawah:

Amerul Affendi : "Duit kerajaan yang punya, nyawa milik anda"

Namron : "Kalau semua nak aku fikir, buat apa aku panggil kau semua kesini!"

Ammar Alfian : "Negara jenis apa yang hantar askar dia untuk mati Tuan?"

Hafizul Kamal : "Jep Sepahtu ker?"

Sherry : "Aku dah beli tanah kubur aku sebelah kubur ayah kau! Aku tak nak mati disini!"


Menonton filem Paskal ini seolah-olah menonton filem antarabangsa kerana terdapat pelbagai babak aksi dan cemas yang sangat menarik di persembahkan di dalam filem ini. Kesan CGI juga masih boleh dibanggakan walaupun terdapat juga sedikit kelemahan namun masih tidak mencacatkan filem ini. Lebih menyeronokkan apabila filem ini mempertaruhkan hampir 95 peratus aksi dan cuma 5 peratus sahaja drama yang memberi fokus kepada keluarga dan bukannya cinta. Setiap pelakon yang terlibat di dalam filem Paskal juga berjaya menjiwai watak yang dipegang masing-masing dan memberi impak kepada pengembangan karakter watak.


Filem ini juga pasti membuatkan anda setuju bahawa setiap watak yang wujud berpeluang menonjol sama rata. Selalunya jika dilihat di dalam masa dua bulan yang terdekat ini, kemunculan Amerul Affendi di dalam filem One Two Jaga, Langsuir dan Mencari Rahmat telah menjadi buah mulut ramai penonton gara-gara dialog yang dilontarkannya cukup hebat dan penuh makna. Namun, filem ini sebaliknya dimana ia bukan sahaja memberi Amerul sekali lagi peluang keemasan seperti itu namun pelakon-pelakon lain juga turut sama dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan watak Rudi lakonan Amerul.


Namun filem Paskal juga tidak sempurna seratus peratus. Ada beberapa kelemahan yang mungkin boleh dijadikan sebagai iktibar supaya penghasilan filem-filem akan datang akan dapat diperbaiki dan secara tidak langsung mengelakkan daripada berlakunya perkara yang sama:

1) Loghat utara yang dituturkan oleh Hafizul Kamal yang memegang watak Yan sedikit merimaskan. Walaupun tidak terlalu teruk tetapi kelihatan sedikit janggal. Kalau watak ini dijadikan watak yang bercakap dengan loghat biasa sahaja seperti watak Ustaz lakonan Taufiq Hanafi pasti akan lebih menarik.

2) Ada beberapa kesan khas CGI atau letupan yang kelihatan sedikit lemah tetapi tidak lah buruk seperti beberapa filem tempatan sebelum ini yang cuba membawa genre patriotik tetapi gagal teruk di pasaran. Namun kesan khas CGI di dalam filem ini masih boleh dibanggakan.


Jadi, disini senaraikan beberapa sebab kenapa anda semua perlu menonton filem Paskal The Movie:

1) Filem ini pasti akan membuatkan semangat patriotisme anda meningkat dengan begitu hebat dan menjadikan anda bangga dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. 

2) Filem ini akan membuatkan anda lebih menghargai dan menyayangi anggota tentera yang sentiasa berjuang melindungi anda dan negara daripada musuh-musuh dari luar mahu pun dalam. Siapa-siapa yang kata tentera kita makan gaji buta sebelum ini mungkin dah boleh buat solat sunat taubat dan banyakkan berzikir memohon keampunan daripada Allah selepas ini.

3) Filem ini memaparkan elemen aksi yang sangat menarik. Anda pasti terpukau dengan pelbagai lagak ngeri seperti terjunan di udara daripada dalam pesawat, berenang di dalam laut dalam, babak pergaduhan yang padu, aksi tembak menembak yang mendebarkan dan juga kesan-kesan tikaman dan percikan darah yang mengerikan.

4) Sekali lagi ditegaskan tiada babak anak orang kaya jatuh cinta pada orang miskin. Juga tiada babak kahwin paksa, mula-mula benci dan lama-lama sayang. Tiada juga babal ada orang ketiga atau bekas kekasih muncul sambil datang membawa bukti seperti gambar atau video sambil menangis-nangis menyebut,"Aku sudah dirosakkan si dia!"... Filem ini memaparkan elemen kekeluargaan dan elemen cinta yang hanya 0.01 peratus di dalam filem ini masih lagi berlandaskan logik kehidupan.

5) Syurga mata untuk gadis-gadis atau wanita bujang. Jika sebelum ini anda menyatakan hero-hero Malaysia kurus keding dan lembik tak macam hero-hero Hollywood atau Bollywood yang sado-mado. Kali ini tatap lah puas-puas! Buntangkan mata puas-puas! Anda pasti puas menatap badan-badan sado pelakon-pelakon Paskal yang sesekali  belanja mata anda sewaktu tontonan di panggung wayang nanti. Kepada yang bersamaan jantina dengan pelakon, awas ya mata lo! Hahaha!

6) Anda wajib menyokong filem Paskal dengan menonton di wayang supaya nilai kutipan tiket setinggi atau lebih tinggi daripada filem Hantu Kak Limah dan Munafik 2 agar filem-filem sebegini akan diterbitkan lagi pada tahun-tahun mendatang.

7) Filem ini ada Namron dan Amerul Affendi. Jadi, kalau filem Paskal menjadi filem seterusnya yang meletup maka anda pasti akan dapat melihat lebih ramai pelakon yang kurang nilai komersial tetapi berjaya diangkat dan dihargai di layar perak kerana bakat yang mereka miliki.


Dikongsikan juga disini beberapa info menarik tentang filem Paskal The Movie untuk rujukan anda:

1) Watak Laksama Komander Arman Anwar yang dipegang oleh Hairul Azreen telah diinspirasi daripada watak Panglima PASKAL, Laksamana Pertama Anuar Bin Alias.

2) Pelakon Hollywood, Tiger Chen Hu yang membintangi filem-filem seperti John Wick 3, The Matrix Reloaded dan Man of Tai Chi turut terlibat di dalam filem ini sebagai pelakon.

3) Barisan pelakon telah menjalani latihan persiapan fizikal dan mental selama dua bulan kerana mereka perlu menggunakan taktikal sebenar di dalam filem.

4) Kebanyakkan aksi di dalam filem ini dilakukan sendiri oleh para pelakon.

5) Pelakon utama filem Paskal iaitu Hairul Azreen berjaya melakukan latihan bongkar pasang senjata dalam masa 6 saat yang juga merupakan masa yang sama diperlukan oleh ahli PASKAL sendiri.

6) Pelakon Theebaam G merupakan Champion Welterweight, MIMMA 4, Juara Karate Negara 7 kali, pemenang 3 pingat perak di Kejohanan Sukan ASEAN.

7) Filem ini menggunakan khidmat Frank Edison selaku penasihat teknikal persenjataan. Para pelakon yang terlibat juga turut berpeluang melihat kehidupan sebenar anggota komando di Zon Esscom.


Pada 31 Ogos yang lepas, Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen ada menyatakan sekiranya filem patriotik tidak ditayangkan pada Hari Kemerdekaan Negara atau Hari Malaysia, filem seperti Paskal ini akan menghadapi bahaya dan risiko yang tinggi jika tidak mendapat jaminan daripada FINAS. Jadi, marilah kita sebagai rakyat Malaysia beramai-ramai memberi sokongan kepada filem berjiwa patriotik yang sangat hebat seperti Paskal ini dengan menonton filem ini di pawagam berdekatan anda supaya selepas ini lebih banyak syarikat produksi sanggup melabur lebih tinggi untuk menghasilkan filem-filem bergenre dan berkualiti seperti ini pada masa akan datang. Selamat menonton!

P/S : Dengar Cerita Hampir Kesemua Panggung Yang Menayangkan Filem PASKAL Buat Masa Ini Penuh. Penulis Sendiri Pun Nasib Dapat Beli Tiket Dan Kebetulan Ada Satu Sahaja Tempat Duduk Kosong Di TGV The Mines Untuk Tayangan Pukul 4.30 Petang. Tahniah Buat Semua Krew Produksi Yang Terlibat Di Dalam Menghasilkan Filem Hebat Ini!

Catat Ulasan

12 Ulasan

  1. wahhhhh ni yg membuat rasa teruja nk tgk filem ni...
    tp dik, paling tak tahan no 5 yg kenapa kene tgk filem ni... tak tahan tang cuci mata tuh dik oi... hhahaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      dah memang betul pun
      hahaha
      selamat menonton sebab filem nih memang wajib ditonton

      Padam
  2. PASKAL

    - Jalan cerita seperti filem - filem Hollywood yang pernah kita tonton sebelum ini. Tetapi ia diadaptasi mengikut acuan Malaysia.

    - Aksi-aksi lawan serta pertempuran dibuat dengan baik sekali. Boleh dikatakan setaraf dengan filem-filem Hong Kong atau Hollywood.

    - Tetapi tutur kata istilah ketenteraan tidak begitu lancar dan meyakinkan. Mungkin istilah di dalam bahasa Inggeris.

    - Lakonan para pelakon ok.

    - Kurangnya 'character development' antara perhubungan Arman dengan Joshua menjadi punca kenapa saya tidak dapat rasai keakraban antara dua watak ini. (ok... Ini bukan pasal LGBT, ok? Hahaha...)

    - Secara keseluruhan, satu filem 'above average' dari produksi tempatan lebih - lebih lagi untuk genre ini.

    - Saya bagi 3.5 bintang / 5 bintang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah kerana menonton dan menyokong filem tempatan
      Tahniah :)

      Padam
  3. Semalam dah bawa family menonton filem Paskal di tgv AEON Cheras Selatan .....memang puas hati filem ni berbaloi setiap sen spend beli tiket untuk 6 orang. Walaupon ada sesetengah komentar kata lakonan sebahagian dari pelakon agak kaku, sebagai anak anggota keselamatan yg tinggal dalam kem dan pernah tinggal sebelah kem komando, itulah karektor sebahagian dari geng2 komando ni yg sebenar, gurau kasar ,bahasa memang keras n kaku, cara cakap pon tegas. Scene pertempuran yg menarik dan real , cuma bab gpmg tembak bot lanun somalia tu ada kelemahan2 kecil yg masih bole diperbaiki...kesan tembakan dan serpihan kayu akibat tembakan perluru gpmg dari super lynx sepatutnya bole dibuat lebih realistik sebab peluru gpmg berkaliber lebih besar dan kesan kemusnahan akibat taembakan mestilah lebih besar... Aksi pertarungan cukup baik , jalan cerita pon menarik ...saya bole kata setaraf dgn filem action movie hong kong dan tidak membosankan ....tengok jangan takn tengok

    BalasPadam
    Balasan
    1. alhamdulillah
      terima kasih kerana menyokong filem berkualiti dengan membawa ahli keluarga sekali
      setiap filem pasti ada kelemahan disana sini tetapi PASKAL memang sudah meletakkan satu tahap yang tinggi buat pembikin filem tempatan yang lain untuk menghasilkan filem aksi yang lebih baik atau setaraf dengan Paskal :)

      Padam
  4. Balasan
    1. alhamdulillah
      4 hari tayangan sudah RM7.5 juta
      jadi mesti best punya

      Padam
  5. Setahu saya orang islam tak beli tanah kubur sebab tanah kubur biasanya tanah wakaf.

    BalasPadam
    Balasan
    1. mak dia saja buat ayat sedih jer dekat anak dia tu :)

      Padam
  6. Jeb mati ke tak? Jatuh dalam laut takkan mati kot?

    BalasPadam