Review Filem Zero


Filem:
Zero

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Aanand L.Rai

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Shah Rukh Khan, Anushka Sharma, Katrina Kaif, Abhay Deol & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Disember 2018

Pengedar:
Nusantara Seni Karya Sdn Bhd

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang lelaki kerdil bernama Bauua Singh yang berasal dari Meerut. Dia mempunyai masalah untuk jatuh cinta serta dicintai oleh wanita. Dia kemudiannya menjalinkan hubungan dengan seorang saintis NASA bernama Aafia Bhinder yang mempunyai masalah Palsi Serebrum tanpa sengaja. Namun, pertemuan Bauua Singh dengan seorang aktres Bollywood terkenal iaitu Babita telah merubah segala-galanya. Adakah mereka bertiga terlibat di dalam cinta tiga segi? Atau adakah cinta akan memusnahkan kehidupan mereka bertiga? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 21 Disember 2018 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah, aku telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang sangat aku nanti-nantikan kerana pelakon utamanya ialah Shah Rukh Khan iaitu filem Zero di TGV Cinemas One Utama pada 21 Disember 2018 yang lepas. Buat pertama kalinya juga aku menonton sebuah filem di dalam panggung Indulge TGV Cinemas yang secara tidak langsung memberi sebuah pengalaman baru yang cukup menyelesakan terutamanya ketika menonton sebuah filem Bollywood yang berdurasi hampir tiga jam termasuk slot iklannya.


Ada tiga perkara yang aku sukakan tentang filem Zero ini. Pertamanya ialah bagaimana hebatnya filem ini berjaya menjadikan pelakon Shah Rukh Khan sebagai seorang lelaki kerdil tetapi masih mengekalkan magis pelakon versatil tersebut. Agak unik apabila melihat Shah Rukh Khan di dalam fizikal kerdil sebegini tetapi ia adalah satu cubaan yang sangat berani dan bagi aku berjaya menjadikan filem Zero ini sebagai sebuah filem yang membawakan sesuatu yang lain buat industri perfileman Bollywood. Apa yang mengagumkan aku ialah segala babak sama ada berlari, menari, melompat dan sebagainya yang melibatkan watak Bauua Singh lakonan Shah Rukh Khan ini kelihatan berjalan begitu lancar dan sangat meyakinkan penonton untuk mempercayai bahawa SRK betul-betul seorang manusia kerdil. Memang satu usaha yang sangat baik melalui kesan khas serta suntingan yang betul-betul teliti. 


Perkara kedua yang menarik tentang filem Zero ini ialah kisah percintaan kali ini melibatkan watak seorang lelaki kerdil, Bauua Singh dan seorang wanita bijak yang menghidap penyakit Palsi Serebrum iaitu Aafia Bhinder. Keunikan kisah cinta ini sebenarnya datang daripada dialog-dialog yang dilontarkan oleh kedua-dua watak ini yang bagi aku sangat hebat dan bermakna. Aku cukup sukakan bagaimana pada permulaannya, kedua-dua watak ini saling cuba merendahkan kemampuan masing-masing dan bagaimana perkara ini digabungkan menjadikan babak pertemuan dan percintaan mereka kelihatan begitu hebat dan berjaya meletakkan filem ini pada permulaannya di satu tahap yang agak tinggi dan membanggakan.


Namun, aku melihat perjalanan cerita filem ini mulai mendatar apabila kemunculan babak Babita dan pertemuannya dengan Bauua Singh dimana aku merasakan momentum dan impak filem ini kembali menurun dan berubah menjadi seperti filem-filem tipikal Bollywood yang lain. Plot cerita sudah mudah untuk dijangka dan segala-gala yang terjadi selepas itu seolah-olah menggunakan satu perkataan iaitu 'kebetulan' untuk menghalalkan penceritaannya sehingga kepada penamat filem. Ia bukan bermaksud filem ini tidak menarik. Filem ini sebenarnya menghiburkan untuk ditonton cuma apabila permulaan filem secara tidak sengaja telah memberikan kepada penonton seperti aku untuk meletakkan harapan ke tahap tertinggi. Kemudian ia gagal mengekalkan momentum tersebut dan ia sedikit mengecewakan aku yang begitu sukakan plot cerita berkaitan Bauua Singh dan Aafia Bhinder.


Secara jujurnya, aku amat menyukai satu jam pertama filem ini yang bagi aku berjaya membawakan sebuah tema tentang percintaan, darjat serta kekurangan manusia di dalam sebuah penceritaan yang agak segar untuk sebuah filem Bollywood. Namun, pertengahan filem ini mula kelihatan terlalu mengikut jejak filem-filem komersial Bollywood yang lain. Pada pengakhirannya pula aku melihat perjalanan filem ini agak tergesa-gesa menjadikan fokus penceritaan sebenar kelihatan sedikit lari daripada apa yang diperjuangkan pada permulaan filem. Aku tidak boleh bercerita lebih untuk mengelakkan daripada terjadinya 'spoiler' buat sesiapa yang belum menonton. Cuma apa aku boleh katakan filem ini wajar ditonton oleh para peminat Shah Rukh Khan namun untuk mengatakan filem ini adalah filem terbaik beliau, aku merasakan filem Zero masih belum sampai ke tahap tersebut.


Jadi, seperti biasa aku turut ingin berkongsi beberapa kelemahan yang aku tonton di dalam filem Zero ini. Aku melihat kelemahan ketara filem ini ialah daripada segi penceritaannya :

1) Hakikatnya, filem ini mempunyai intipati penceritaan yang menarik tetapi apabila terlalu banyak perkara yang ingin diletakkan di dalam sebuah naskhah menjadikan filem Bollywood yang berdurasi panjang sebegini pun tidak mampu menghuraikannya perkembangan cerita dan watak dengan lebih teliti. Ini menjadikan sesetengah perkara dan babak yang penting kelihatan seperti terkejar-kejar dan agak tidak masuk akal kerana ia kelihatan seperti 'kebetulan' berlaku. Antara yang aku boleh kongsikan tentang hal ini ialah berkaitan pertandingan tarian dimana ia sangat tidak meyakinkan untuk menunjukkan Bauua sebagai seorang juara apabila terus ditunjukkan pertandingan akhir. Bakat Bauua di dalam tarian tidak ditunjukkan dan ini sedikit mencacatkan penceritaan. Seterusnya tentang bagaimana Bauua terpilih untuk menjadi sebagai seorang angkasawan juga kurang meyakinkan dimana ianya juga seakan-akan satu kebetulan. Mungkin hanya babak berkenaan Bauua berlari sahaja yang boleh menyokong sedikit tentang perkara ini.

2) Filem-filem terbitan isteri Shah Rukh Khan iaitu Gauri Khan sentiasa akan menampilkan cameo-cameo hebat yang pernah berlakon dengan suaminya. Namun, kemunculan pelakon-pelakon wanita hebat ini agak tenggelam kerana babak yang dipaparkan dan melibatkan mereka agak kurang memberi impak. Walau bagaimanapun, ia masih satu bonus yang cukup istimewa buat filem Zero ini.


Jadi,disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Zero ini di pawagam berhampiran bermula pada 21 Disember 2018:

1) Sebuah filem yang memaparkan kisah menarik berkenaan kisah cinta antara seorang lelaki kerdil, seorang wanita penghidap Palsi Serebrum dan seorang artis wanita popular pujaan rakyat India yang jarang dapat dilihat di dalam filem-filem komersial Bollywood.

2) Kehebatan utama filem ini ialah dialog-dialog yang dilontarkan pelakonnya yang mempunyai subteks yang menarik jika direnung dan diamati sedalam-dalamnya. Ia bagaikan sebuah lontaran mesej yang melantun-melantun tetapi dalam keadaan yang ringan dan sangat sesuai diterima oleh sesiapa sahaja yang menonton.

3) Kesan khas CGI filem ini boleh dikatakan sangat cantik dan suntingannya begitu meyakinkan. Boleh dikatakan hampir keseluruhan babak yang memaparkan Shah Rukh Khan berjaya divisualkan di dalam keadaan kerdil yang nampak begitu realistik. Paling menarik sewaktu babak nyanyian sebuah lagu dimana air hujan yang jatuh dan melantun daripada baju kelihatan sangat cantik dan mengagumkan.

4) Sinematografi filem ini juga sangat menawan dan penuh dengan warna yang memukau. Filem Bollywood selalunya jarang gagal di dalam bab ini dan anda pasti akan terpesona dengan keindahan latar tempat yang dipaparkan di dalam filem ini.


Jadi, selamat menonton filem Zero dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Minggu Nih Layan Wayang Dekat GSC Aman Central Lah Nampak Gayanya!

Catat Ulasan

2 Ulasan