Review Filem Kuntilanak 2


Filem:
Kuntilanak 2

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Rizal Mantovani

Genre:
Seram

Pelakon:
Sandrinna Michelle, Andryan Bima, Ali Fikry, Adlu Fahrezy, Ciara Nadine Brosnan & Etc.

Tarikh Tayangan:
25 Julai 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Karmila yang mengaku dirinya adalah ibu kandung Dinda. Karmila telah pergi ke rumah Makcik Donna dan meminta Dinda melawat rumahnya di dalam hutan. Kerana mahu meluangkan masa bersama ibunya, Dinda pergi ke rumah itu tanpa persetujuan Makcik Donna. Akibatnya, dia telah terperangkap di dalam rumah tersebut bersama adik-adik dan rakan-rakannya. Kejadian aneh mula berlaku dan lebih teruk lagi apabila Dinda yang sebelumnya pernah bertembung dengan makhluk ghaib wanita bergelar Kuntilanak kini perlu berdepannya semula. Kali ini ia berbeza daripada makhluk sebelumnya yang dihapuskan menggunakan sihir. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Julai 2019 untuk mengetahui cerita seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media filem Kuntilanak 2 bertempat di TGV One Utama pada 22 Julai 2019 yang lepas. Kami tidak pernah menonton filem Kuntilanak yang pertama jadi tidak dapat dibuat perbandingan antara kedua-dua filem pada ulasan kali ini. Tetapi, apa yang kami tahu filem ini meneruskan kesinambungan pada kisah terdahulu dengan barisan pelakon cilik yang sama. 


Filem ini dimulakan dengan kisah pembebasan Kuntilanak yang dikurung sebelum ini oleh seorang lelaki yang ingin menuntut ilmu hitam. Ia kemudiannya kembali membawa penonton untuk melibat kelibat kanak-kanak cilik pada filem pertama yang sedang bersuka ria di pesta funfair dan mulai diganggu oleh kuntilanak tanpa mereka sedari. Buat penonton yang tidak pernah menonton filem pertama Kuntilanak ini seperti kami tidak perlu berasa khuatir kerana filem ini sejak awal lagi telah berjaya membuatkan anda dekat dan mengenali watak serta perwatakan watak-watak utamanya seperti Dinda, Kresna, Panji, Miko dan lain-lain. 


Kami secara peribadi agak menyukai keseraman yang cuba ditimbulkan di dalam filem Kuntilanak 2 ini. Penggunaan teknik jump scare yang sangat minima di dalam filem seram ini adalah salah satu contoh yang kami selalu tekankan sebelum ini. Bukannya tidak perlu tetapi biar berpada-pada dan kena pada tempatnya. Filem Kuntilanak 2 telah membuktikan dengan permainan kamera yang berjaya mencuri sudut-sudut sempit dan kecil serta dibantu oleh sinematografi yang menawan mampu untuk mewujudkan elemen seram yang menarik dan memberi impak kepada penonton. Menampilkan tona warna kehijauan yang disatukan dengan warna kegelapan telah berjaya membangkitkan elemen misteri dan seram di dalam filem ini.


Walaupun filem ini mempunyai banyak ketegangan saat kemunculan Kuntilanak mulai mengganas namun diakui ia berjaya diimbangi dengan unsur humor yang datang daripada dialog-dialog pelakon cilik yang cukup menghiburkan walaupun tidak banyak. Cuma sedikit perkara yang agak mengecewakan pada filem Kuntilanak 2 ini ialah penggunaan kesan khas CGi yang kurang menjadi atau berkesan pada beberapa adegan. Perubahan manusia menjadi kuntilanak pada kami tiada masalah dan agak menarik terutama apabila teknik solekan ngeri memainkan peranan di dalam menimbulkan elemen seram pada sebahagian babak. Namun adakalanya perubahan wajah kuntilanak yang berlaku dalam kegelapan dan ianya tidak jelas di visual membuatkan babak sebegini yang sebetulnya memberi impak dilihat kurang menjadi dan sia-sia. Namun, apa yang lebih mendukacitakan ialah berkaitan kawasan kurungan kuntilanak yang dilihat langsung tidak menyeramkan dan ini agak mengganggu babak klimaks yang sepatutnya lebih dramatik dan paling mencemaskan antara semua.


Selain itu, kami dapat mengenal pasti filem Kuntilanak 2 ini seakan-akan mengambil banyak rujukan filem seram dari luar dimana sebahagian babaknya akan mengingatkan penonton kepada filem-filem seram seperti Evil Dead, ZombieLand dan beberapa lagi filem lain. Penceritaan filem Kuntilanak 2 juga dilihat terlalu dewasa bagi mewakili 5 orang kanak-kanak cilik dan ia dilihat kurang menjadi pada beberapa bahagian. Watak makhluk mistik iaitu Ponta dan Ponti juga dilihat agak mengelirukan peranannya yang sepatutnya dekat dengan Kuntilanak tetapi dilihat seperti berasingan. Namun, secara keseluruhannya kami merasakan pendekatan seram yang digunakan di dalam filem Kuntilanak 2 ini agak menarik dan kami sangat menyukainya. Sebuah filem yang menghiburkan dan masih berbaloi untuk anda tonton di pawagam berdekatan pada minggu ini. 


Jadi, selamat menonton filem Kuntilanak 2 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Seram Dari Thailand Pula Berjudul Curses. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

8 Ulasan

  1. Ulasan yang ditunggu2, terima kasih Hans. Hanya 6/10, tapi not bad jugak tu, mungkin tak seseram seperti posternya, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. bergantung pada citarasa seram masing-masing sebab mengikut pandangan beberapa rakan dan penonton semalam...50-50 dimana ada yang menyatakan seram dan sebaliknya.

      Padam
  2. Baru lepas tonton. Start dgn slow dan plot yg lemah dan lost focus. Amat sayang sekali mempersia2kan peluang utk buat film Kuntilanak yg menarik dan dikenang. Lebih baik skip dan tonton film lain mcm Kingdom atau AnnA, heheh...

    BalasPadam
  3. Tak pernah Hans, saya tak tahu pon wujud film Kuntilanak pertama... tiba2 je muncul yg kedua ni, tapi layan jugak, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      yups
      yang pertama memang ada
      kuntilanak keluar dari cermin kalau tak silap

      Padam
  4. Macam boleh layan nie. Tapi rasanya kena tengok Kuntilanak yg pertama dulu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. so far kalau tak tengok yang pertama pun tak ada masalah untuk tonton filem kedua ini
      cuma kalau nak puaskan diri, tengok lah yang pertama dulu
      hohoho

      Padam