Review Filem Geran


Filem:
Geran

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Areel Abu Bakar

Genre:
Drama & Aksi

Pelakon:
Namron, Khoharullah Majid, Feiyna Tajudin, Fad Anuar, Azlan Komen, Taiyuddin Bakar,
Niezam Zaidi, Adam Shahz, Aeril Zafrel, Megat Shahrizal, Fatimah Abu Bakar & Etc.

Pengedar:
Empire Film Solution

Tarikh Tayangan:
10 Oktober 2019

Sinopsis:
Filem aksi ini mengisahkan Ali serta adik perempuannya, Fatimah yang berasa marah dengan adik mereka iaitu Mat Arip yang mengambil geran tanah pusaka untuk dicagarkan kepada lintah darah, Hj Daud disebabkan kegilaan berjudi. Walau bagaimanapun, bapa mereka, Pak Nayan tetap yakin ada jalan penyelesaian untuk mengubah sikap Mat Arip serta mendapatkan semula geran pusaka tersebut. Namun, konco-konco Hj Daud mula bertindak lebih ganas dengan cuba mengugut serta mencederakan mereka. Apakah seterusnya yang bakal terjadi? Saksikan filem silat yang cukup menarik dan penuh dengan aksi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 10 Oktober 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem tempatan yang sangat hebat berjudul Geran di Amerin Cineplex pada  10 Oktober 2019 yang lepas. Sebelum ini, kami sememangnya sudah menerima jemputan daripada pihak Empire Film Solution untuk menonton filem ini pada malam galanya yang berlangsung meriah di MMCineplex sebelum ini namun kami tidak berpeluang untuk hadir menonton lebih awal. Secara jujurnya, kami sememangnya meletakkan harapan yang agak tinggi untuk filem ini dari sudut aksinya dan ternyata aksi-aksi silatnya berjaya mencapai piawaian yang kami harapkan. Serius, filem Geran sememangnya filem aksi tempatan terbaik untuk tahun 2019 dan tahun-tahun sebelumnya walaupun ianya dihasilkan di dalam kos kewangan yang sangat minima.


Sebelum kami pergi lebih jauh kepada faktor-faktor utama kehebatan filem ini, kami ingin pergi kepada perkara yang kecil terlebih dahulu tetapi memberi impak dan warna kepada perjalanan keseluruhan filem ini. Memandangkan kami berasal dari utara iaitu negeri jelapang padi, Kedah maka tutur kata serta lenggok bahasa yang digunakan di dalam filem ini yang mana hampir 98 peratus adalah loghat utara adalah sangat dekat dengan kami dan menjadikan kami cukup bersemangat untuk menonton filem Geran ini. Apa yang menariknya disini dimana hampir keseluruhan penggunaan loghat yang digunakan kedengaran asli tanpa dibuat-buat dan kami sangat bersyukur dimana beberapa orang pelakon seperti Aeril Zafrel misalnya tidak bercakap loghat utara di dalam filem ini. Pada kami, adalah lebih baik tidak bercakap loghat utara jika pada akhirnya nanti ia bertukar menjadi loghat Siam. Jadi, ini adalah antara satu perkara menarik yang membuatkan kami sangat menyukai filem Geran.


Seterusnya ialah tentang penggunaan alat muzik tradisional yang digunakan serta dipaparkan di dalam babak-babak latihan silat dimana ia sebenarnya mengangkat kembali bukan sahaja seni silat tradisi masyarakat Melayu tetapi juga alat-alat muzik tradisional itu sendiri yang semakin hari semakin dilupakan dan tidak dikenali oleh ramai anak muda tempatan pada era kini. Latar muzik yang digunakan melalui alat-alat muzik tradisini ini pada kami sangat merdu dan membawakan irama asli yang semakin sukar untuk dilihat di dalam mana-mana drama apatah lagi filem tempatan pada masa kini. 


Kemudian, kami juga sangat menyukai bagaimana filem Geran bukan sekadar mengambil lokasi sawah padi semata-mata untuk menggambarkan bahawa filem ini memaparkan kisah yang berlaku di Utara tetapi bagaimana elemen budaya dan adat masyarakat Melayu terutamanya yang tinggal di kampung-kampung turut sama dimasukkan yang menjadikan ianya lebih cantik dan meyakinkan. Hal ini dapat dilihat kepada watak Pak Nayan yang tidak lekang dengan rokok daun gulungnya, watak Ali yang memancing di terusan, bagaimana akrabnya hubungan orang kampung daripada lapisan usia kanak-kanak sehingga kepada warga emas seperti mana adegan yang memaparkan watak Fatimah di pasar. Tidak dilupakan juga beberapa adegan sampingan yang walaupun sekejap tetapi ia memaparkan realiti masyarakat Melayu kampung seperti adegan di kedai kopi, gila berjudi serta gila meminjam duit untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah atau bukannya keperluan. Pada kami, hal-hal ini bijak disampaikan secara sederhana dan kejayaan filem ini mengelakkan elemen-elemen ini disampaikan dalam keadaan ceramah mahu pun syarahan adalah satu perkara yang sangat menggembirakan.


Berbalik pula kepada fokus utama filem ini pada pandangan kami iaitu seni pertahanan diri yang jarang diangkat pada waktu kini iaitu silat. Saat terlalu ramai yang merindukan aksi-aksi silat yang pernah ditonton pada drama-drama silat menarik era 90-an dimana penonton sangat mengenali dan menyukai aksi-aksi pelakon Eman Manan, Ebby Yus, Latif Borgiba, Tamam Idris dan ramai lagi yang hebat-hebat, kemunculan filem Geran bukan sekadar kena dengan waktunya tetapi juga memberikan penonton tempatan harapan apabila kemunculan pelapis-pelapis baru di dalam filem ini bukan sekadar menampilkan aksi silat yang tempelan tetapi ianya benar-benar hebat dan berkualiti. 



Tidak terkejut jika para pelapis seperti Khoharullah Majid, Feiyna Tajudin dan Fad Anuar ini mampu memberikan aksi silat yang menarik kerana sememangnya mereka punya ilmu tersebut tetapi apa yang mengejutkan lakonan yang diberikan juga tidak lah 'kayu' tetapi agak meyakinkan untuk ditonton. Khoharullah Majid misalnya walaupun kami akui persembahan lakonannya masih boleh ditambah baik terutama dari sudut gabungan lontaran suara serta emosi namun ketenangan yang diberikan pelakon ini serta bagaimana aksi-aksi silatnya dipersembahkan dilihat begitu sempurna dan cukup mengagumkan. Kami melihat Khoharullah boleh pergi lebih jauh jika diberi peluang yang lebih bukan sahaja daripada penerbit mahu pun pengarah filem tempatan tetapi juga daripada penonton-penonton di Malaysia sendiri. Cuma nasihat kami agar Khoharullah jika mendapat peluang nanti maka silalah pilih karya-karya filem yang bermutu kerana kami yakin kelebihan yang ada pada dirinya bakal tersekat jika filem-filem yang bakal dilakonkan selepas ini tidak mempunyai keunikan atau keistimewaan seperti mana yang ada di dalam filem Geran ini.


Kami juga terjatuh suka kepada lakonan hebat satu-satunya bunga di dalam filem ini iaitu Feiyna Tajudin yang memegang watak Fatimah. Pertama sebab bahasa filemnya di dalam Geran yang mempunyai kepekatan dan kelikatan loghat Kedah yang sangat menarik dan menghiburkan. Hang memang terrer lah Feiyna Taj! Kami melihat pelakon wanita ini juga boleh pergi jauh dimana pelakon ini bukan sekadar bersandarkan kepada wajah yang cantik(pandangan kami dia cantik dan ayu! Hahaha!) tetapi juga bagaimana dia mempersembahkan aksi-aksi silatnya tersangat lah hebat. Satu perkara yang kami lihat bukan sekadar pada watak Fatimah tetapi juga pada watak Ali, Mat Arip mahu pun antagonis dan orang kampung dimana aksi-aksi silat yang dipaparkan ini berjaya divisualkan di dalam keadaan yang realistik menepati logik filem yang disarankan dimana ia tidak langsung kelihatan hiperbola tetapi ia sangat meyakinkan sehingga membuatkan anda bakal terpukau saat babak-babak aksi muncul di layar panggung nanti. seperti mana watak Fatimah yang dibawakan oleh Feiyna Tajudin ini, aksi-aksi silatnya tidak lah memaparkan yang dirinya bersilat sama hebat seperti mana lelaki tetapi elemen silatnya tampak sangat hebat disebabkan keayuan serta ciri-ciri wanita melayu itu masih kekal wujud saat dia 'gembira' membelasah jantan-jantan dayus lagi haprak di dalam filem ini pada permulaan filem serta di pasar atau orang Kedah cakap Market. Perkara ini yang kami cukup bangga dan kami juga mengharapkan Feiyna Tajudin selepas ini diberi peluang untuk muncul di dalam filem yang memberi fokus kepada watak ini sendiri dimana bakat ini perlu diangkat, diberi ruang dan peluang untuk menyinar. Sayang sebab bakat kita jumpa dan gilap tetapi jika tidak diberi peluang maka terkubur begitu sahaja nanti.


Pelakon Fad Anuar pula dilihat mempunyai pakej yang sangat bagus dimana selain muda dan turut hebat di dalam aksi silat, dirinya juga mempunyai rupa yang komersial dan secara tidak langsung dilihat mempunyai aura untuk menjadi pengganti kepada pelakon Eman Manan. Cuma kami melihat persembahan lakonannya masih boleh ditambah baik. In Sha Allah jika ada rezeki maka kita pasti dapat melihat Fad Anuar, Khoharullah Majid dan Feiyna Tajudin mampu bersinar bukan sahaja di Malaysia malahan di Indonesia serta di luar negara seperti mana yang sedang dialami oleh pelakon-pelakon dari seberang seperti Iko Uwais, Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman. 


Berbalik pula kepada elemen aksi di dalam filem ini, tidak dinafikan ianya bukannya terlampau sempurna dimana masih dapat dilihat kelemahan terhadap permainan kamera serta suntingan namun ia tidak lah sehingga memburukkan filem ini. Jika dilihat kepada nilai kos pembikinan filem ini, ianya sudah boleh dikatakan sebagai sebuah karya yang sangat membanggakan sehingga kami tanpa ragu atau teragak-agak untuk meletakkan filem Geran sebagai filem aksi terbaik Malaysia untuk tahun 2019. Elemen aksi di dalam filem inilah yang kami cari dimana ianya tidak dijumpai di dalam mana-mana filem tempatan setakat. Babak-babak pergaduhan mahu pun pertempuran di dalam filem Geran sentiasa bersulam cantik antara aksi, reaksi tubuh serta emosi pelakonnya tanpa terlalu bergantung kepada permainan kamera atau suntingan daripada editor untuk menampakkan ianya kelihatan menarik dan realistik. Lebih menarik apabila ia dilakonkan sendiri oleh para pelakonnya tanpa perlu mengharapkan kepada pelakon lagak ngeri dan ini yang membuatkan kami tabik hormat kepada semua barisan pelakon filem Geran ini. Inilah yang kami mahukan di dalam filem tempatan. Siapa kata filem tempatan yang berbaget rendah tidak boleh berikan hasil yang terbaik? Filem Geran sudah buktikan yang mereka mampu berikan yang terbaik dengan kos pembikinan yang tidak seberapa. Siapa kata filem perlukan semua pelakon popular dan tinggi jumlah pengikutnya di laman sosial untuk menarik perhatian penonton Malaysia? Geran telah membuktikan pelakon tidak ternama tetapi punya bakat terbesar layak diangkat tetapi pada masa yang sama tidak melupakan pelakon ternama dan popular yang mempunyai kualiti dan bukannya populariti semata. Jadi, gabungan antara pelakon baru dan pelakon lama ini yang diaplikasikan di dalam filem Geran pada kami adalah satu tindakan yang menarik dan memberi nafas baru pada industri filem tempatan.


Seterusnya, kami juga sangat menyukai mesej-mesej yang dipaparkan di dalam filem Geran ini dimana ia sememangnya bijak di dalam mengkritik masalah-masalah yang melanda masyarakat Melayu secara am nya. Pertama berkaitan dengan masalah harta pusaka dimana masalah ini kerap kali memecah belahkan hubungan antara adik beradik disebabkan masalah perebutan harta. Jadi, melihat watak Pak Nayan yang tenang menghadapi masalah serta mengawal sikap anak-anaknya yang hampir berantakan disebabkan masalah geran tanah adalah satu sindiran sinis kepada masyarakat kita terutama ibu bapa yang sememangnya perlu mempunyai jalan penyelesaian yang baik apabila berhadapan dengan masalah ini. Satu hal yang menarik berkaitan harta pusaka atau geran ini ialah berkaitan penama dan pewaris. Di dalam hal ini, geran masih tidak diwaris atau dibahagikan kepada mana-mana anak dimana ia masih kepunyaan Pak Nayan dan filem ini membawa kita terutama ibu bapa untuk melihat keperluan terhadap pembahagian harta misalnya agar anak-anak pada masa hadapan tidak akan tibai-menibai sesama sendiri hanya disebabkan perebutan harta. 


Seterusnya, kami juga tertarik untuk melihat bagaimana filem ini meneruskan stigma majoriti pihak yang menganggap anak bongsu sebagai anak kesayangan dan sering dimanja serta tidak dipersalahkan walaupun terbukti perkara yang dilakukan si anak paling kecil ini salah. Ianya dapat dilihat bagaimana kakak Mat Arip iaitu Fatimah yang sememangnya dilihat sering kali tidak sabar melihat sikap adik bongsunya yang sering mendapat pembelaan daripada Pak Nayan walaupun segala sudut negatif serta punca masalah datangnya daripada Mat Arip. Namun, bagaimana elemen kekeluargaan serta kasih sayang yang diterapkan, diolah serta disampaikan di dalam kisah keluarga Pak Nayan ini yang menjadikan ianya sebagai satu kisah keluarga yang cukup bagus untuk diteliti dan dijadikan tauladan.


Mesej paling menarik dan berkesan berkaitan filem Geran yang seterusnya ialah kritikal sosial terhadap orang Melayu sendiri terutama berkaitan dengan masalah sosial yang dicari sendiri. Selain daripada masalah tahi judi yang melanda masyarakat Melayu seperti yang dipaparkan melalui watak Mat Arip, penonton juga bakal diperlihatkan dengan permasalahan masyarakat yang suka membuat hutang atas sebab benda yang bukan keperluan. Kami tertarik dengan adegan dimana seorang lelaki kampung yang gagal membayar hutang pinjamannya dimana hutang dibuat disebabkan untuk membeli motosikal kepada si anak serta untuk membesarkan ruang dapur di rumah. Hal ini sebenarnya adalah realiti dan merupakan masalah kebanyakan masyarakat Melayu golongan pertengahan yang sememangnya sukar difahami. Jadi, sindiran yang menyatakan jangan berhutang disebabkan mengikut kemahuan atau membuat pinjam di kala usia sudah pertengahan adalah satu mesej serta sindiran pedas yang bagus untuk dihadam.


Asyik memuji pun nanti macam mana filem tempatan nak majukan? Jadi, filem Geran juga tidak dapat lari daripada beberapa kelemahan yang kami dapat kenal pasti sepanjang menonton filem ini. Selain daripada adegan-adegan pertempuran yang boleh ditambah baik pada filem-filem arahan Areel Abu Bakar pada masa akan datang dari sudut permainan kamera dan suntingannya. kami juga melihat ada beberapa watak yang kelihatan 'termati tanpa jasad' seperti watak Aeril Zafrel dan Niezam Zaidi di dalam filem ini. Selain itu, kami melihat transisi babak-babak filem ini yang berselang-seli antara drama dan aksi adakalanya sedikit mengganggu tontonan. Gangguan disini bukannya gangguan dominan cuma sayangnya apabila penonton baru sahaja ingin leka berada di dalam dunia aksi silat tetapi kemudian ia tersekat apabila terpaksa kembali semula ke dunia drama. Selain itu, walaupun kami akui barisan pelakon utama filem ini iaitu Khoharullah Majid, Feiyna Tajudin dan Fad Anuar ini sememangnya sangat hebat di dalam aksi silat mereka tetapi dari sudut lakonan masih boleh ditambah baik lagi pada masa-masa akan datang. Bukannya lakonan mereka tidak bagus cuma kalau emosi serta lontaran suara diberi lebih penjiwaan lagi maka lakonan mereka semestinya lebih hebat daripada pelakon-pelakon lain yang sedia ada di Malaysia ini. Namun, untuk kami yang baru pertama kali melihat ketiga-tiga pelakon ini di dalam sebuah filem aksi sebegini, kami boleh nyatakan kalian bertiga bukan sekadar memberi nafas baru pada filem tempatan tetapi juga menjadi penyelamat kepada barisan pelakon pelapis di Malaysia yang tumbuh bagai cendawan tetapi kurang memberi impak kepada penonton dari sudut persembahan serta penjiwaan lakonan. 


Sekalung tahniah buat kalian bertiga, barisan pelakon lain serta seluruh krew produksi filem Geran. Semoga akan ada sekuel untuk filem ini dan kami juga mengharapkan bukan sahaja pihak produksi filem Geran namun mana-mana produksi filem tempatan yang lain agar cuba untuk memikirkan, mencari serta menambah peruntukan kepada baget promosi kepada seluruh platform yang ada dan tidak terlalu mengharapkan semata-mata kepada media sosial. Ini adalah satu faktor yang sangat penting untuk masyarakat tempatan mengetahui kewujudan filem anda. Sayang kalau filem berkualiti tetapi kewujudan filem tidak diketahui oleh seluruh masyarakart Malaysia.


Jadi, selamat menonton filem Geran di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 10 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Yang Juga Sangat Menarik Iaitu The Captain. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

10 Ulasan

  1. Industri di Malaysia mementingkan “populariti” pelakon dan tidak akan mempromosikan filem itu jika tiada pelakon yang popular di dalam karya tersebut. Termasuklah distributor, platform media sosial dan saluran akhbar aliran perdana, ini kerana “tidak boleh jual”, jadi tiada yang akan menonton, membaca atau membeli nya. Begitulah keadaan semasa sekarang. Untuk mengubah persepsi begini amat susah sekali.

    BalasPadam
    Balasan
    1. itulah maksud saya..
      selalunya filem-filem berbaget kecil selalu akan memberi alasan tiada duit untuk promosi.
      memang betul tiada duit tetapi nak tak nak kena juga adakan atau cari duit untuk bab marketing
      lepas tu upah lah orang-orang,blogger, influencer mana yang sesuai..
      upah kitaorang pun boleh..hahaha...filem kalau best memang seronok promote

      Padam
  2. ini baru betul2 best, baca review pun dah teruja nak tengok... panjang lebar dan menarik betul nampaknya filem ini... sebab dapat penilaian sampai 9/10...

    BalasPadam
    Balasan
    1. review dah macam cerpen dah Sis
      lepas nih adalah komen daripada sesiapa yang malas baca tu suruh kitaorang lukis nanti
      hahahaha

      Padam
  3. Kami dah pi tengok..... Mmg terbaikkkkk 👍👍👍

    BalasPadam
  4. Filem aksi Melayu yg sgt baik sejak zaman Eman Manan...tahniah. Teruskan berkarya.

    BalasPadam
  5. Cerita yang sangat222 menarik! Ending pun macam akan ada sequel 😏. Setuju dengan kebanyakan review, loghat utara didialogkan dengan baik, membuatkan cerita lebih asli dan menarik berbanding cerita2 melayu lain yang mengambil mudah penggunaan loghat negeri2.

    Koreografi Silat dapat dilihat dengan jelas dan cantik bunga2 silat. Menunjukkan penggunaan nya yang lebih praktikal dalam pertempuran jalanan tapi masih mengekalkan pergerakan2 silat yang cantik, bukan seperti kebanyakan cerita2 silat yang lain, hanya gerakan cantik di padang latihan, tetapi bila bertempur semuanya rawak dan tak tentu arah.

    Yang sedikit mengecewakan, gerakan tempur kelihatan kaku. Setiap pergerakan serangan dan bertahan, kelihatan tidak realistik apabila mengambil masa untuk bereaksi atau membalas atau ke pergerakan yang detergents. Mungkin jumlah latihan sebelum shooting boleh di tambah supaya aksi2 kelihatan lebih lancar dan realistik, bukan seperti pertunjukan di majlis kahwin.

    BalasPadam