Review Filem Roh Fasik


Filem:
Roh Fasik

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Ubay Fox

Genre:
Seram

Pelakon:
Irwansyah, Denira Wiraguna, Evan Sanders, Zaskia Sungkar, Nagita Slavina & Etc.

Tarikh Tayangan:
6 Jun 2019

Pengedar:
Antenna Entertainments

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Akbar yang mula hilang kepercayaan terhadap agama dan Tuhan selepas kematian isterinya Zahra, hinggakan dia enggan mengajar anak perempuannya Amira tentang agama. Dia kemudian berkahwin semula dengan wanita bernama Renata, tetapi rumahtangga barunya tidak sebahagia dulu. Suatu hari, kawan lamanya Hassan datang melawat dan cuba membawanya kembali ke jalan yang benar. Dia akhirnya membenarkan Hassan untuk mengajar Amira tetapi sejak itu, kejadian aneh mula berlaku di rumah mereka. Peliknya, Renata sering menjadi sasaran kejadian itu. Keluarga itu perlu mencari tahu apa yang sedang menguasai mereka di rumah tersebut. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula 6 Jun 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak Antenna Entertainments untuk menghadiri tayangan filem Roh Fasik bertempat di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 28 Mei 2019 yang lepas. Pada hari yang sama, kami turut berpeluang menemuramah barisan pelakon serta pengarah filem Roh Fasik iaitu Ubay Fox pada sebelah petangnya. Ubay Fox telah menyatakan filem ini mengambil inspirasi daripada filem Munafik dan dirinya sendiri merupakan peminat kepada pengarah Syamsul Yusof. Cuma tanpa sedar pengarah ini telah membocorkan beberapa rahsia @ spoiler penting filem ini tanpa sedar sewaktu sesi temuramah yang membuatkan kami sudah mengetahui tentang pengakhiran filem ini walaupun belum lagi menonton.


Tolak ke tepi dahulu berkaitan tentang pengakhiran filem ini yang kami ketahui lebih awal daripada pengarah sendiri. Jadi, menyentuh berkenaan jalan cerita filem ini sememangnya ada beberapa bahagian yang seakan-akan sama dengan filem Munafik iaitu dari segi watak utamanya iaitu Akbar yang merupakan seorang lelaki yang alim dan taat pada perintah agama sebelum kehilangan isterinya yang mati dibunuh. Jadi, selepas kematian isterinya membuatkan Akbar seakan-akan menjauh dengan agama dan berkahwin dengan isteri barunya Renata namun perkahwinan mereka seperti tidak bahagia. Jadi, bermula lah pelbagai kejadian pelik yang berlaku di dalam rumah terutamanya melibatkan Renata yang kerap kali dirasuk. Persoalannya disini ialah kenapa Renata yang dirasuk dan apa hubung kaitnya hal ini dengan Akbar dan anaknya? Apa yang pasti anda perlu tonton filem ini jika ingin mengetahui tentang jawapan kepada persoalan ini.


Kami ingin berkongsi beberapa pandangan kami terhadap filem Roh Fasik ini untuk rujukan anda. Memandangkan filem ini mengambil inspirasi daripada filem Munafik, jadi terdapat banyak adegan yang memaparkan bacaan ayat Al-Quran seperti mana yang kita boleh tonton pada filem Munafik sebelum ini. Namun, perbezaan ketara yang dapat dilihat pada kedua-dua filem ini ialah cara serta nada bacaan ayat-ayat Al-Quran ini dibaca pada setiap adegan tersebut. Jika di dalam Munafik, kita dapat melihat bacaan ayat-ayat Al-Quran daripada Syamsul Yusof sangat tegas dan membantu menaikkan rasa seram pada adegan-adegan yang melibatkan hal ini namun berbeza dengan filem Roh Fasik dimana bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Irwan Syah telah menjadikan adegan-adegan tersebut kehilangan aura seramnya. Bukannya disebabkan bacaan ayat-ayat suci daripada Irwan Syah ini tidak sedap tetapi disebabkan kemerduan bacaannya seperti di dalam majlis tadarus Al-Quran menyebabkan adegan-adegan yang sepatutnya mampu membangkitkan rasa seram anda menjadi sebaliknya. Ia seolah-olah telah menghilangkan faktor dramatik yang sepatutnya terisi pada babak tersebut.


Seterusnya, kami ingin menyentuh tentang lakonan Denira Wiraguna yang berperanan sebagai Renata di dalam filem ini dimana berkemungkinan besar disebabkan pelakon ini masih muda iaitu baru berusia 19 tahun menyebabkan peranannya sebagai isteri kepada watak Akbar kelihatan sedikit kekok. Selain itu, babak-babak kerasukan yang melibatkan pelakon ini juga kelihatan kurang meyakinkan daripada segi reaksi wajah serta emosi yang menyebabkan rasa seram itu agak kurang. Ia seolah-olah kelihatan terlalu dibuat-buat dan terlalu mencuba. Menyentuh pula tentang kelibat hantu di dalam filem ini, kami melihat penampakan hantu yang dicat dengan warna hitam disertakan dengan solekan mata merah ini juga seperti kurang menyeramkan. Kami melihat usaha kepada penghasilan visual hantu di dalam filem ini seperti kurang bersungguh-sungguh dan asalkan boleh sahaja. Namun, elemen jump scare dan muzik latar setidak-tidaknya berjaya membantu menutup sedikit kelemahan-kelemahan ini.


Terakhir sekali yang ingin kami nyatakan disini ialah berkenaan kekuatan jalan ceritanya. Ada beberapa perkara yang kami kurang berkenan terutamanya tentang watak Akbar yang seperti tidak mempunyai akal apabila isterinya dirasuk. Tiada usaha langsung daripada watak ini untuk cuba mengubati isterinya atas alasan tidak mempercayai hantu walaupun sudah beberapa kali kejadian yang sama berlaku pada dirinya. Namun, satu kegagalan besar filem ini ialah ia gagal menyembunyikan jawapan kepada persoalan siapa yang membunuh isteri Akbar apabila pembayang-pembayang terhadap persoalan itu terlalu mudah didedahkan pada pertengahan filem ini. Ia adalah sesuatu yang sangat tidak masuk akal atau menepati logik filem apabila bukti-bukti pembunuhan masih disimpan di kawasan yang sangat dipersoalkan oleh sesiapa yang menonton filem ini. Kesimpulannya, filem Roh Fasik merupakan sebuah lagi filem seram daripada Indonesia yang belum mampu memberikan satu kepuasan kepada kami yang bukan sahaja dahagakan unsur-unsur seram yang maksimum tetapi juga inginkan jalan cerita yang betul-betul menarik dan bukannya stereotaip. Namun, masih sesuai untuk ditonton sebagai hiburan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti. 


Jadi, selamat menonton filem Roh Fasik di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Filem Punjabi Berjudul Chandigarh Amritsar Chandigarh! Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Hans, lepas ni review film
    Krasue: Inhuman Kiss pula. Poster je dah meremang, heheh...

    BalasPadam
  2. Thanks for sharing. Review yg Sangat jujur dan kelakar. TQ

    BalasPadam